suria

Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Pelajar Pernah Cicir Sekolah

PUTRAJAYA: Seorang bekas pelajar sekolah kekal ditahan di bawah ihsan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap kesalahan membunuh seorang penyambut tetamu, sembilan tahun lepas.

Dia yang kini berusia 25 tahun melakukan kesalahan itu ketika umurnya 16 tahun. Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria mempengerusikan lima anggota panel mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah melakukan pembunuhan dengan memutuskan tidak terdapat merit bagi menimbang rayuan itu.

Hakim-hakim lain sebagai anggota panel terdiri Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hasan Lah.

Pemuda itu disabit kerana membunuh Khadijah Abu Bakar, 22, di flatnya di Mak Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang, antara 1 hingga 3.35 pagi Mac 23, 2002.

Pada 1 Dis 2006, pemuda itu dibebaskan tanpa dipanggil membela diri di akhir pendakwaan kes. Pihak pendakwa merayu kepada mahkamah rayuan, yang pada 3 Ogos 2008 mengenepikan pembebasannya dan memerintahkannya membela diri di atas pertuduhan membunuh.

Di akhir kes pembelaan, dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Dis 2008 dan diperintahkan ditahan di bawah ihsan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Di membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan selepas gagal di Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya pada 9 Mei tahun lepas.

Menurut kes pendakwaan, pemuda itu membunuh budak perempuan tersebut yang merupakan jirannya kerana dituduh mengintainya.

Budak perempuan itu kemudian dijumpai mati terbaring berlumuran darah di bilik tetamu rumahnya. Pakar bedah mengesahkannya mati kerana kehilangan darah akibat luka ditetak sebanyak 139 kali.

Timbalan Pendakwaraya Nurulhuda Nuraini Mohd Noor sebelum itu memberitahu panel, laporan DNA pada satu sarung tangan koyak ditemui di tempat kejadian dan pada kain langsir menunjukkan pemuda itu berada di tempat pembunuhan.

Pihak DPP berkata perayu gagal menerangkan bagaimana DNA miliknya ditemui pada kain langsir dan sarung tangan itu.

Nurulhuda berkata kecederaan dialami perayu pada tangannya setanding dengan sarung tangan koyak dijumpai di tempat kejadian jenayah.

Katanya, Mahkamah Tinggi tidak menerima penjelasannya bahawa dia cedera akibat terjatuh, bermakna dia memakai sarung tangan itu dan mengalami kecederaan semasa berada di rumah si mati.

Perayu mendakwa kesan DNAnya berada di tempat kejadian kerana telah mengangkat si mati dan meribanya selepas pergi ke situ menyiasat setelah mendengar jeritan si mati bergaduh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain