suria

AADK Sasar Wujudkan 40 Rumah Komuniti Seluruh Negara

KUALA TERENGGANU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan untuk mewujudkan 40 lagi rumah komuniti antidadah di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Zuraidah Mohamed berkata, pemulihan penagih dadah daripada gejala tidak sihat dengan bantuan komuniti menerusi pusat seumpamanya didapati berkesan dan ia membantu mewujudkan komuniti yang harmoni.

Setakat ini, 39 rumah komuniti seumpamanya sudah beroperasi di seluruh negara dengan mencatatkan hampir 11,000 penagih setahun di satu-satu kawasan yang mempunyai rumah komuniti.

“Pada tahun ini setiap rumah komuniti diperuntukkan bantuan RM20,000 bagi tujuan menaik taraf kemudahan selain menampung perbelanjaan penganjuran program-program pemulihan dan pencegahan yang dijalankan.

“Peruntukan yang disediakan itu berdasarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam usaha membantu mengurangkan 30 peratus penagihan dadah di negara ini,” katanya kepada pemberita pada program lawatan Jenguk Marhabbah ke Rumah Komuniti, di sini.

Zuraidah berkata, AADK amat memerlukan kerjasama daripada komuniti membantu mengadakan program rawatan pemulihan dan pencegahan, sementara AADK menyediakan khidmat pegawai pembimbing rakan sebaya (PRS).

Bermula tahun ini, AADK akan mengambil pendekatan dengan mengemas kini data penagih dadah melalui satu sistem profil berdasarkan kategori sama ada mereka ialah pengguna ataupun penagih dadah.

Sehingga kini, 300,000 penagih dadah dicatatkan di seluruh negara dan hampir 250,000 daripadanya mendapatkan khidmat bantuan pemulihan di rumah-rumah komuniti ini.

"Dengan penubuhan lebih banyak rumah komuniti ini, kita percaya mampu menurunkan statistik penagih dadah selain membantu mereka membina keyakinan diri dalam masyarakat,” katanya.

Di Terengganu, trend jenis penggunaan dadah didapati berubah iaitu penagih dikesan tidak lagi menggunakan dadah jenis tradisonal seperti heroin atau morfin.

Sebaliknya, pengambilan dadah pil kuda dan ecstasy mencatatkan jumlah paling tinggi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain