suria

DRB-Hicom Cadang Kerjasama Proton Dengan Jenama Luar Negara

SHAH ALAM: DRB-Hicom Bhd akan menerajui Proton Holdings Bhd menuju masa depan dengan mengkaji kemungkinan mengadakan kerjasama dan penjenamaan dengan pihak-pihak dari luar negara, kata Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, pada Rabu.

"Penjenamaan penting untuk memasuki pasaran global dan perlu ada perikatan, kerjasama atau usaha sama antara rakan kongsi asing untuk membantu dan memberikan kami satu platform untuk memasauki pasaran global.

"Agenda saya bukan sahaja Proton malah juga industri kereta nasional dan kita mesti menjenamakan Proton sebagai pembuat kereta yang baik di samping statusnya sebagai kereta nasional," kata beliau pada satu taklimat media di sini. Beliau berkata, DRB-Hicom sedang mengadakan rundingan dengan rakan kongsinya dari luar negara mengenai kemungkinan mewujudkan kerjasama dengan Proton.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, DRB-Hicom akan terlebih dahulu bertemu dengan pengurusan Proton untuk membincangkan rancangan pertumbuhan termasuk rantaian bekalan vendor, usaha memulihkan jenama dan peningkatan eksport.

Sebarang perkongsian yang mungkin diadakan, mestilah merupakan kerjasama 'menang-menang', katanya sambil menambah bahawa DRB-Hicom berhasrat untuk bergerak maju sebagai syarikat pengeluar dan pembuat kereta.

"Saya bersikap terbuka. Mungkin General Motors, Volkswagen atau Honda yang bersedia untuk bekerjasama dan memberi faedah kepada Proton dan industri ini," katanya lagi.

Mengenai kemungkinan berlakunya perubahan dalam pengurusan Proton, Khamil berkata beliau lebih suka jika ia adalah adunan lama dan baharu.

"Mungkin ada perubahan, mungkin tidak," kata beliau.

DRB-Hicom buat masa ini mengadakan perkongsian dengan Volkswagen serta memasang dan mengedarkan kenderaan bagi Volkswagen, Mercedes-Benz, Daimler AG, Honda, Isuzu dan Suzuki di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain