suria

Polis Temui Beribu Pil Khayal Eramin Dengan Penahanan Seorang Lelaki Di JB

JOHOR BAHARU: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di bandar raya ini selepas menahan seorang lelaki di Jalan Abdullah Tahir, di sini dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM700,000 Ahad lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki bujang berumur 39 tahun yang menaiki sebuah kereta itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan pada pukul 5.10 petang, selepas mendapat maklumat berkaitan pengedaran dadah.

"Selepas kami melakukan pemeriksaan ke atas kereta itu, kami menemui 5,200 biji pil khayal yang dipercayai Eramin 5. Serbuan dan pemeriksaan susulan kemudian dilakukan ke atas dua unit kediaman di Bangunan DNP, di jalan yang sama dan polis menemui 12,000 pil yang disyaki Eramin 5, 33 biji pil WY, 10 biji pil ecstasy serta 8.3 gram syabu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Selasa.

Mohd Mokhtar berkata, polis turut merampas sepucuk pistol tiruan dan sebutir bom tangan palsu dalam pemeriksaan di kediaman berkenaan.

Beliau berkata, ujian air kencing ke atas lelaki yang dipercayai terlibat kegiatan pengedaran dadah di bandar raya ini dan Melaka itu positif syabu dan dia yang mempunyai dua rekod berkaitan dadah, direman sehingga Ahad depan.

Katanya dadah yang dirampas itu adalah anggaran bekalan kepada 17,245 orang penagih dan dipercayai sebagai bekalan untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina minggu depan.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya berjaya menyelesaikan kes kecurian televisyen LCD di sebuah hotel di Kulaijaya, November lepas, selepas menahan seorang pekerja hotel berkenaan, 4 Januari lalu.

Mohd Mokhtar berkata, lelaki berumur 21 tahun dan bekerja sebagai penyelenggara di hotel itu ditahan pada pukul 6.40 petang, di sekitar bandar raya ini.

"Polis menerima laporan daripada orang awam pada pukul 4 petang, 24 November lepas yang menyatakan kehilangan 25 unit televisyen LCD di sebuah hotel. Ekoran dari itu, polis berjaya menahan lelaki terbabit dan menemui 16 daripada 25 televisyen LCD berkenaan.

"Suspek mengaku mencuri kesemua televisyen itu dan menjualnya dengan harga RM400 hingga RM500 seunit," katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menahan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di bandar raya ini, Ahad lepas bagi membantu siasatan pembunuhan seorang remaja perempuan di rumahnya di Taman Kempas, di sini, Rabu lalu.

Beliau berkata remaja terbabit yang ditahan pada pukul 4.30 pagi merupakan suspek kelima yang ditahan berhubung pembunuhan berkenaan.

"Dua suspek yang ditahan berhubung kes itu telah mengaku terlibat dengan kejadian itu dan polis semalam berjaya merampas baju serta seluar yang dipakai mereka pada hari kejadian. Siasatan masih diteruskan dan setakat ini pembunuhan itu bermotifkan percintaan, cemburu dan dendam," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain