suria

Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang Terus Meningkat

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di daerah Kuantan dan Pekan terus meningkat kepada 1,026 orang berbanding 805 orang petang Jumaat.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, sehingga 9 pagi ini, mangsa pemindahan daerah Kuantan yang ditempatkan di lima pusat pemindahan meningkat kepada 704 orang daripada 189 keluarga.

"Seramai 476 orang daripada 124 keluarga ditempatkan di SMK Pandan, Dewan Orang Ramai Sri Damai (93 orang daripada 31 keluarga), Dewan Orang Ramai Panching (18 orang daripada 6 keluarga), SMK Gudang Rasau (80 orang daripada 20 keluarga) dan terbaru Balai Raya Cherating (37 orang daripada lapan keluarga).

"Daerah Pekan pula masih kekal satu pusat pemindahan yang dibuka iaitu di SK Sinar Mutiara yang menempatkan 322 orang daripada 78 keluarga dari Kampung Cenderawasih," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Sementara itu, jalan utama Kuantan-Sungai Lembing di KM30 masih dinaiki air setinggi satu meter dan ditutup kepada semua kenderaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain