Warga Emas Maut Dalam Kebakaran - Semasa | mStar

Warga Emas Maut Dalam Kebakaran

IPOH: Seorang warga emas maut selepas rumah yang didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Selat, Layang-Layang Kiri, Parit 55 km dari sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohd Fakri Che Sulaiman berkata mangsa Manaf Khalof, 84, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui mati di dalam biliknya oleh pasukan bomba selepas kebakaran selesai dipadamkan.

Kejadian berlaku pada pukul 8.50 pagi ketika mangsa tinggal sendirian di rumah tersebut, manakala isteri dan anaknya keluar menjual kuih di pekan, katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mohd Fakri berkata kejadian disedari oleh jiran mangsa yang kemudian menghubungi pihak bomba. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat, katanya.

Beliau berkata siasatan awal kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas, bagaimanapun pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Kerugian dianggarkan bernilai RM60,000, katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Parit, Penguasa Amir Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pada pukul 9.10 pagi dan apabila sampai, rumah tersebut yang dibina dengan papan musnah 95 peratus.

Sebuah jentera dengan tujuh anggota bomba mengambil masa setengah jam untuk memadamkan kebakaran tersebut dan menemui mayat mangsa hanya sebahagian badannya terbakar di dalam bilik tidurnya dalam keadaan terbaring. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Australia Cari ‘Amah’

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain