suria

Polis Tahan 25 Lelaki Asyik Main Judi Atas Bukit

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menyerbu sebuah mini kasino di kawasan bukit di Mount Erskine, di sini dan menahan 25 lelaki yang sedang asyik berjudi dalam serbuan Ops Dadu malam Rabu.

Operasi yang diketuai ASP Fauzi Md Yusuf itu bermula pukul 3 petang dan terpaksa mengambil masa lebih lima jam sebelum dapat menyerbu kawasan berkenaan kerana polis terpaksa mendaki bukit dengan ketinggian kira-kira lima kilometer.

Jurucakap polis berkata seramai tujuh pegawai dan 15 anggota daripada cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) dan cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menyertai operasi berkenaan.

"Selain terpaksa mendaki bukit yang mencabar itu, polis juga berdepan dengan sekumpulan tonto yang mengawasi laluan ke mini kasino berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya pihak polis berjaya mengepung mini kasino itu pada pukul 8.30 malam sebelum menyerbu dan menahan 25 lelaki berusia antara 20 dan 50 tahun.

"Semasa diserbu mereka sedang asyik bermain judi dan ada yang cuba melarikan diri, bagaimanapun gagal ekoran polis telah mengepung kawasan berkenaan," katanya dan menambah mereka bermain judi dalam sebuah khemah khas di hutan itu.

Jurucakap itu berkata polis merampas wang di meja judi sebanyak RM250 dan wang bersama mereka yang ditahan sebanyak RM27,670 serta peralatan judi jenis dadu dan york.

Katanya siasatan awal mendapati penganjur judi berkenaan baru memulakan operasi di atas bukit itu sejak tiga hari lepas.

"Penganjur menjalankan aktiviti perjudian secara berpindah-randah bagi mengelak dan mengelirukan pihak polis," katanya.

Beliau berkata anggaran setiap pertaruhan yang memakan masa 45 minit itu ialah RM100,000 hingga RM150,000 dan melibatkan pertaruhan individu antara RM10 dan RM1,000.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan operasi berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya kesemua mereka ditahan reman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - BERNAMA

Artikel Lain