suria

5 Juta Pil Syabu Bernilai RM630 Juta Dirampas

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas lima juta pil jenis syabu yang bernilai RM630 juta jika diproses semula, Sabtu lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Zainul Abidin Taib berkata rampasan tersebut dilakukan di susur keluar tol Bukit Tagar, lebuhraya PLUS, menghala ke Utara dari Klang, kira-kira pukul 8.30 malam, 31 Dis lalu.

"Pil tersebut yang seberat 903.2 kilogram boleh menghasilkan lebih 80 juta pil sekiranya diproses semula, berjaya dirampas dalam satu operasi yang dilakukan empat hari lalu oleh JKDM dan PDRM.

"Dua lelaki iaitu warga Singapura dan Taiwan serta dua lelaki warga tempatan yang berusia 40 hingga 50 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini.

Katanya pasukan yang ditubuhkan oleh JKDM dan PDRM telah mengekori sebuah van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton di tol Bukit Raja, berhampiran Bandar Klang setelah mendapat maklumat daripada orang ramai ia membawa 'barangan larangan'.

Beliau berkata kedua-dua kenderaan tersebut kemudian ditahan di susur keluar tol Bukit Tagar, Plus menghala Utara dari Klang dan hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati di dalamnya terdapat 50 kotak yang mengandungi 5,000 botol pil jenis syabu.

"Keempat-empat lelaki yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda tersebut kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan bagi membantu siasatan.

"Dua orang suspek yang kini dipercayai berada di Pulau Pinang juga sedang disiasat bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu katanya sejumlah 10.2 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM2,550,000 berjaya dirampas oleh pihak JKDM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 Januari lalu pukul 8.45 malam, daripada tiga lelaki berusia 20-an yang baru sahaja tiba dari negara Eropah.

Beliau berkata sebaik sahaja tiba ke tempat pemeriksaan beg ketiga-tiga lelaki tersebut menunjukkan imej yang meragukan setelah diimbas dengan menggunakan mesin.

"Hasil pemeriksaan mendapati di dalam setiap beg tersebut mengandungi 3.4 kilogram dadah jenis syabu dan ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain