suria

Tiga Individu Bantu Siasatan Kes Penemuan Tengkorak

KUALA LUMPUR: Tiga individu yang masing-masing kehilangan anggota keluarga telah tampil bagi membantu siasatan polis berhubung penemuan satu tengkorak manusia serta beberapa serpihan tulang di tepi sungai berdekatan cerun Menara Tinjau Bukit Ampang, dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata mereka tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya sebaik sahaja berita penemuan tengkorak itu tersebar.

"Keputusan bedah siasat masih belum diperoleh dan sukar untuk mengetahui identiti si mati.

"Kita (polis) akan menjalankan siasatan terperinci dan menunggu keputusan Unit Patologi bagi mengenal pasti identiti tengkorak tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama Rabu.

Menurutnya ujian pengesahan identiti akan dilakukan selepas itu bagi mendapatkan padanan mengikut senarai orang hilang daripada tiga individu tersebut.

Tengkorak serta serpihan tulang itu ditemui oleh seorang pekerja kontrak yang sedang membersihkan cerun sungai sebelum menghubungi polis.

Dalam perkembangan lain, polis Hulu Selangor mendapatkan kebenaran untuk menyambung reman seorang ibu berusia 20 tahun yang dipercayai mendera anak perempuannya berusia dua tahun enam bulan di kediamannya di Kampung Mat Taib, Serendah baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Norell Azmi Yahya Afendy ketika dihubungi berkata, suspek disambung reman dua hari lagi sehingga Jumaat ini bagi melengkapkan siasatan.

Menurutnya, wanita terbabit yang sedang dalam proses perceraian dengan suaminya disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Katanya suspek ditahan Sabtu lepas dan ditahan reman sehingga hari ini selepas polis menerima laporan daripada bekas suaminya berhubung tindakan suspek yang dipercayai mendera anak perempuannya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain