suria

Dasar PAS Perjuangkan Islam Tidak Pernah Berubah : Mustafa

KUALA LUMPUR: PAS tidak pernah mengubah dasar dalam memperjuangkan Islam tetapi mengambil pendekatan berbeza bagi menjamin kelangsungan prinsip parti bersama sekutunya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, walaupun parti itu pernah bekerjasama dengan pelbagai parti sebelum ini termasuk Barisan Nasional (BN) pada tahun 70-an, PAS tidak pernah menyimpang daripada perjuangan asal.

"Tidak dinafikan pendekatan untuk berubah tapi tidak sehingga menjejaskan dasar PAS. Sekarang kita dalam Pakatan Rakyat... konsep negara berkebajikan merupakan strategi yang diambil bagi menjamin kelangsungan perjuangan Islam dan beberapa soal asas lain dapat diteruskan," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang menyifatkan PAS sudah tersasar daripada perjuangan asal untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Menurut beliau, konsep negara berkebajikan yang dijadikan sebagai manifesto rasmi PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) akan datang merupakan sebahagian pendekatan yang diambil parti itu bersama PKR dan DAP.

"Jadi perubahan dasar tak betul... dasar satu, pendekatan pula satu hal lain. Saya pun hairan kenapa Hasan tidak faham konsep tersebut sampai hari ini," katanya.

Jelas beliau lagi, PAS mahupun PKR dan DAP mempertahankan empat dasar utama iaitu kedudukan Institusi Raja, Islam sebagai agama rasmi, hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Keempat-empat perkara ini telah dipersetujui oleh kami. Namun Hasan hanya pertahankan tiga prinsip saja," katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan Hasan yang menolak konsep negara berkebajikan seolah-olah menentang keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-57, Jun lalu.

"Kenyataan yang dikeluarkan Hasan itu dibuat semata-mata untuk mengelirukan sesetengah masyarakat," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan setiap ahli PAS supaya mengerti istilah 'perangkap' dan terperangkap dalam agenda Umno kerana perangkap politik membawa definisi tersendiri.

"Perangkap politik berbeza dengan perangkap tikus dan monyet yang kita boleh nampak. Terperangkap dalam agenda Umno bukan hanya bermaksud seseorang itu keluar PAS dan menyertai Umno. Jika ini berlaku, ia tidak memberi kesan buruk kepada parti.

"Apabila seseorang itu sudah keluar daripada parti dan sertai Umno dan kemudian mengeluarkan pelbagai kritikan. Dia tidak akan berjaya mempengaruhi ahli-ahli PAS kerana mereka sudah tidak lagi mempercayainya sejajar dengan prinsip mereka yang berpegang kepada dasar perjuangan parti, bukannya individu," katanya.

Ketika ditanya sama ada Hasan akan menyertai Umno sekiranya beliau meninggalkan PAS, Mustafa berkata, berdasarkan pendirian dan bacaan politiknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu tidak akan berbuat demikian malah Umno sendiri tidak akan menerimanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain