suria

Pos Malaysia Terbit Setem Khas Institusi Diraja Negara

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd akan mengeluarkan koleksi setem dan filateli bertemakan Institusi Diraja yang memaparkan tiga Alat Kebesaran Diraja dan akan dijual kepada umum bermula 12 Disember ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya Shukrie Salleh berkata, pihaknya berbangga kerana berpeluang mengeluarkan setem keluaran eksklusif mengenai Institusi Diraja ini menerusi penerbitan setem khas, sampul surat hari pertama dan 'folder'.

"Usaha Pos Malaysia ini diharap dapat meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap sejarah dan warisan Institusi Diraja yang wajar dibanggakan oleh rakyat Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Sementara itu, Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli berkata Alat Kebesaran Diraja yang terdapat pada koleksi keluaran setem kali ini terlebih dahulu telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 16 Mac 2009.

"Pos Malaysia menyasarkan pengumpul setem dalam dan luar negara bagi keluaran kali ini yang mana bilangan cetakan adalah terhad dan tidak akan dicetak semula.

"Koleksi setem Institusi Diraja ini merupakan koleksi terakhir bagi tahun 2011 setelah mengeluarkan sebanyak 14 koleksi sepanjang tahun ini dan Pos Malaysia akan terus mengeluarkan pelbagai koleksi setem pada tahun hadapan," katanya yang berharap ia mampu menarik minat orang ramai.

Setem-setem khas berukuran 50mm x 40mm yang terdiri daripada tiga Alat Kebesaran Diraja dan mempunyai denominasi berbeza iaitu Gandik Diraja berharga 60 sen, Pending Diraja berharga 80 sen dan Singgahsana berharga 90 sen sekeping boleh dibeli daripada pejabat-pejabat pos seluruh negara.

Folder berharga RM5.50 tiap satu bagaimanapun hanya boleh didapati daripada pejabat pos terpilih sahaja. - BERNAMA

Artikel Lain