suria

Pembunuh Adrian Perlu Segera Dihukum - Duta

JAKARTA: Penjenayah yang terlibat dalam pembunuhan kejam ke atas pelajar Malaysia Adrian Jay Pereira perlu dibawa ke pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya atas perbuatan di luar batas kemanusiaan itu.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan yang menyatakan perkara ini, menegaskan bahawa pihak kedutaan besar Malaysia di sini akan memantau perkembangan seterusnya berhubung kes pembunuhan itu agar kematian Adrian terbela.

Pembunuhan itu, katanya mencetus kebimbangan di kalangan pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia. "Kita akan terus memantau dan menunggu tindakan susulan daripada pihak berkuasa Indonesia. Kematian pelajar Malaysia ini merupakan satu isu jenayah yang memerlukan pembelaan yang sewajarnya," kata beliau di sini, Rabu.

Beliau mengulas kejadian pembunuhan Adrian, penuntut Malaysia di Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya di Malang, Jawa Timur, akibat ditetak di lehernya oleh seorang penyerang di luar rumah sewaan di bandar Malang pada Isnin malam.

Adrian, 23, diserang ketika cuba menghalang seorang lelaki daripada mencuri motosikalnya.

Syed Munshe Afdzaruddin turut menasihatkan pelajar Malaysia di Indonesia supaya sentiasa menumpukan perhatian kepada aspek keselamatan diri ketika berada di negara ini.

Mereka perlu kerap berkomunikasi dengan rakan senegara dan rakan tempatan yang dipercayai.

Rangkaian hubungan sosial dengan persatuan-persatuan pelajar juga penting bagi memastikan mereka dapat bertukar maklumat dan berkongsi masalah.

"Jangan berani ke tempat yang tidak biasa dikunjungi. Kalau perlu juga ke tempat berkenaan, bawa bersama rakan-rakan dari Malaysia atau rakan dari Indonesia yang sudah mereka kenal rapat.

"Jika ada masalah berhubung keselamatan diri, jangan teragak-agak untuk menghubungi pihak berkuasa atau pihak kedutaan. Kami sentiasa bersedia untuk membantu," katanya.

Pada masa ini pelajar Malaysia yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Indonesia berjumlah 6,184 orang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain