suria

Edar Dadah: Pesara & Peniaga Dihukum Gantung

ALOR SETAR: Seorang pesara tentera dan rakannya seorang peniaga dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Selasa selepas didapati bersalah mengedar dadah dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa tertuduh pertama, Zainal Nanyan, 48, dan tertuduh kedua, Desar Din, 60, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Zainal dari Bukit Kayu Hitam dekat sini dan Desar dari Gurun didakwa secara bersama mengedar 4,497.3 gram kanabis di simpang jalan Sungai Badak, bersebelahan kedai Tiang Roman/Batu Nesan, Gurun pada pukul 5.45 petang 21 Mei 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata walaupun kedua-dua tertuduh memberi keterangan secara bersumpah, namun pembelaan mereka adalah sesuatu yang diada-adakan yang tidak boleh dipercayai dan diterima mahkamah.

"Pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dan selepas mempertimbangkan keseluruhannya, pihak pendakwaan berjaya buktikan kes terhadap tertuduh.

"Kedua-dua tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan. Bagi kesalahan ini satu-satunya hukuman adalah gantung sampai mati," kata Mohd Zaki.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim, manakala Zainal diwakili peguam Datuk Sallehudin Saidin dan Desar diwakili peguam Mohd Amir Abdul Rani.

Dalam rayuan melalui Mohd Amir, Zainal yang mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak memberitahu selepas ditangkap, perniagaannya (kedai makan) telah ditutup, manakala isterinya pula hanya bekerja sebagai pembantu kantin sekolah selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Desar yang pernah bertugas selama 22 tahun sebagai anggota tentera pula memberitahu selepas bersara dia hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan dan ini juga merupakan kesalahan pertamanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain