Warga Emas Cedera Jatuh Motosikal Selepas Diragut

KUANTAN: Dua wanita warga emas, kedua-dua berusia 69 tahun, cedera selepas terjatuh dari motosikal yang dinaiki mereka dalam satu kejadian ragut pada Selasa.

Dalam kejadian 12.15 tengah hari di kawasan Taman Mirama, Jalan Bukit Sekilau itu, mangsa dan rakannya sedang dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas makan tengah hari sebelum dihampiri dua buah motosikal yang dinaiki empat lelaki.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Inspektor Hazuriana Mat Hussin berkata salah seorang suspek bertindak meragut rantai leher yang dipakai mangsa menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh bersama rakan pemboncengnya.

"Mangsa dan rakannya jatuh ke atas jalan sehingga menyebabkan mereka cedera di kepala, tangan dan kaki," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Kedua-dua mangsa menerima rawatan di sebuah klinik berhampiran tempat kejadian itu. "Rantai leher mangsa dianggarkan bernilai RM800, polis sedang memburu keempat-empat suspek berkenaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain