suria

Tindakan JPN Keluarkan Farah Azlina Sebagai TPR Elakkan Tohmahan - Nazri

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Farah Azlina daripada kumpulan TPR yang terlibat menjalankan pendakwaan kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata tindakan segera itu diambil bagi mengelakkan apa-apa tohmahan dan TPR terbabit telah ditempatkan di bahagian lain di Jabatan Peguam Negara.

"Jabatan Peguam Negara telah mengambil tindakan menyiasat dakwaan yang mengatakan bahawa pengadu dalam kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mohd Saiful Bukhari mempunyai hubungan dengan salah seorang TPR dalam kes tersebut.

"Walaubagaimanapun, dakwaan mengenai hubungan tersebut didapati tidak berasas tanpa apa-apa bukti yang kukuh," katanya dalam jawapan bertulis kepada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Karpal meminta supaya menyatakan perkembangan dalam siasatan yang dijanjikan oleh Peguam Negara dalam hubungan antara Mohd Saiful Bukhari Azlan dan TPR Farah Azlina dalam perbicaraan kes Anwar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain