suria

Lelaki Disyaki Edar Dadah Ditahan

TEMERLOH: Seorang lelaki yang baru sahaja dibebaskan dari penjara bulan lepas, diberkas polis selepas dipercayai masih terbabit dalam pengedaran dadah.

Suspek yang berusia 36, ditangkap ketika bersembunyi di dalam semak berhampiran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Bintang, dekat sini pada 1.30 pagi Ahad, kata Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Md Nor Mansor. Ketika ditangkap, polis menemui lima paket heroin seberat 5.2 gram bernilai RM500 dan dua biji pil eramine 5 bernilai RM60 serta peralatan menghisap dadah di dalam beg galasnya.

"Polis turut menemui beberapa tiub straw kosong yang digunakan untuk membungkus dadah serta hampir 30 pemetik api dan beberapa jarum suntikan," katanya kepada pemberita, di sini pada Isnin.

Md Nor berkata ketika ditangkap suspek juga berada di bawah pengaruh dadah dan siasatan awal mendapati suspek mengedar dadah secara kecil-kecilan di daerah itu.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (2) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain