suria

Kerajaan Akan Gubal Akta Lindungi Kepentingan Subkontraktor & Pembekal Industri Pembinaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal Akta Bayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan untuk melindungi kepentingan subkontraktor dan pembekal, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng.

Beliau berkata akta berkenaan dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat Mac tahun depan selepas mendapat kelulusan jemaah menteri.

"Kementerian Kerja Raya pada masa kini sedang dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan cadangan mewujudkan suatu akta bagi melindungi kepentingan pihak-pihak yang terlibat khususnya kepada golongan subkontraktor dan pembekal," katanya ketika menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang).

Leong ingin tahu masalah yang dihadapi oleh kontraktor dan langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah mereka.

Yong berkata menerusi akta itu, kepentingan pihak yang terlibat dalam industri pembinaan akan lebih terjamin dan sebarang pertikaian mengenai isu pembayaran akan dapat diselesaikan dengan lebih cepat menerusi proses adjudikasi.

Sementara itu beliau berkata kementerian tersebut melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedia maklum mengenai isu kelewatan atau kegagalan pembayaran yang berlaku dalam industri pembinaan khususnya melibatkan subkontraktor dan pihak pembekal.

Katanya tanpa sebarang jaminan mengenai pembayaran dan keadilan menerusi proses adjudikasi, pihak yang tidak menerima bayaran itu bakal mengalami masalah aliran tunai yang serius sehingga menanggung hutang dan ada yang terpaksa menggulung perniagaan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain