suria

Wajibkan Bahasa Melayu Langkah Positif

KUALA LUMPUR: Beberapa agensi kerajaan dan kementerian berpendapat langkah mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pentadbiran sebagai tindakan positif dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Mereka secara amnya sedang melaksanakan langkah itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Haizuhailie Baharuddin berkata JMM sedang melaksanakan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh dalam urusan seperti mesyuarat jabatan, surat-menyurat dan seminar tanpa "merojakkan" bahasa tersebut.

"Kita rasa Pekeliling yang akan dikeluarkan kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu itu satu langkah positif bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu secara lebih meluas dalam kalangan agensi kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama, Sabtu.

"Kebanyakan kita mencampur-adukkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, dan ini tidak mencerminkan kita serius untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Kalau sudah diwajibkan menggunakan bahasa Melayu, kita tidak boleh menggunakan bahasa Inggeris," kata Haizuhailie.

Haizuhailie berkata, sebagai contoh, JMM akan menggunakan dwi-bahasa dalam sebarang kertas kerja melibatkan pihak antarabangsa, dan akan menterjemahkan kertas kerja yang diterima dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Semalam, Muhyidin berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan menggunakan bahasa kebangsaan bertujuan memantapkan peranan bahasa itu dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan.

Satu Pekeliling Perkhidmatan berkaitan panduan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam dijangka dikeluarkan untuk tujuan tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan Harun Maddash pula berkata dasar itu wajar diperluas ke agensi bukan kerajaan.

"Sekiranya langkah itu dapat dilaksanakan di semua jabatan kerajaan dan sektor swasta, saya percaya bahasa Melayu mampu diangkat setanding dengan bahasa ibunda negara lain seperti di Jepun dan China," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sesetengah perkataan perubatan dalam bahasa Inggeris sukar diterjemahkan ke bahasa Melayu, menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris terpaksa diteruskan.

Tetapi, perkataan yang sudah diterjemah ke bahasa Melayu akan digunakan dalam urusan rasmi harian.

Sambil menganggap langkah yang diumumkan Muhyiddin itu sebagai rasional, Ketua Bahagian Komunikasi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Tarbiyah Bachik, berkata pihaknya telah mengadakan pelbagai bengkel dan kursus bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perbadanan.

Beliau menegaskan semua kakitangan kerajaan wajar menunjukkan contoh yang baik kepada agensi bukan kerajaan dengan menggunakan bahasa Melayu untuk segala urusan rasmi pentadbiran kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain