suria

Pendapat Orang Ramai Diambil Kira Sebelum Hukuman Mati Dimansuhkan:Nazri

KUALA LUMPUR: Pandangan orang awam perlu diambil kira berhubung cadangan memansuhkan hukuman mati di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata sebarang usaha berhubung cadangan itu perlu datang dari orang awam sama seperti gesaan bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Seperti ISA, apabila ramai orang awam mahu akta itu dimansuhkan, kita mengikut pandangan majoriti.

"Pendapat awam amat penting kepada kerajaan kerana pada masa ini anda tidak akan benar-benar dapat melihat sama ada orang ramai mahu hukuman mati dimansuhkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada forum awam berhubung pemansuhan hukuman mati di negara ini, di sini, Khamis.

Mohamed Nazri berkata walaupun pada masa ini tiada perbincangan mengenai pemansuhan segera hukuman mati di Malaysia walaupun terdapat gesaan dari beberapa pihak, kerajaan komited untuk mengkaji dan menilai semula hukuman itu.

Pada masa ini, Malaysia masih mengamalkan hukuman mati dan setakat tahun lepas, terdapat 114 hukuman mati dan 744 merupakan banduan akhir manakala satu hukuman mati dilaksanakan.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Mohamed Nazri berpendapat bahawa kajian semula hukuman mati merupakan satu usaha yang tepat pada masanya dan selaras dengan usaha yang sedang dilakukan kerajaan untuk mengkaji semula undang-undang lapuk dan beberapa ordinan darurat bagi memperkenalkan undang-undang baru yang selari dengan prinsip hak kebebasan manusia.

"Tugas kita dalam kerajaan adalah untuk mencari cara paling berkesan dan penuh perikemanusiaan bagi menegakkan keadilan bagi rakyat dan manusia pada umumnya," katanya.

Forum awam bagi mempromosikan pemansuhan hukuman mati di Malaysia dianjurkan bersama oleh Kesatuan Eropah (EU), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam Malaysia sempena Hari Antarabangsa menentang hukuman mati yang disambut pada 10 Okt setiap tahun.

Duta dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Vincent Piket dalam ucapannya berkata pemansuhan hukuman mati di seluruh dunia merupakan satu daripada objektif dasar hak asasi manusia EU.

Katanya tiada negara anggota EU mengamalkan hukuman mati manakala bilangan negara yang telah memansuhkannya dalam undang-undang dan amalan telah meningkat sejak dekad kebelakangan ini iaitu daripada 108 pada 2001 kepada 139 pada masa ini.

"Pada masa yang sama, 58 buah negara di seluruh dunia masih melaksanakan hukuman mati. Pada 2010, 23 negara diketahui melaksanakan hukuman itu. Di rantau Asia Pasifik jumlah pelaksanaan hukuman itu adalah yang tertinggi di dunia," katanya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat perkembangan positif di Asia, seperti Kemboja, Hong Kong, Nepal, Filipina dan Timor Leste telah memansuhkan hukuman mati manakala Mongolia telah mengumumkan penangguhannya.

Brunei tidak melaksanakan hukuman itu sejak 1957 dan Korea Selatan sejak 1997. Tiada hukuman dilaksanakan di Laos manakala bagi dua tahun berturut-turut tiada pelaksanaan hukuman mati direkodkan di Indonesia pada 2010, dan begitu juga di Thailand, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain