suria

Tampil mohon maaf… Bekas isteri, ibu mentua tarik balik kenyataan terhadap Imam Muda Syed Faris selepas setuju berdamai

Hidayu (kanan) menarik balik keseluruhan kenyataan selepas mendapat persetujuan penyelesaian bersama.

BEKAS isteri kepada Imam Muda Syed Mohd Faris Syed Roslan bersama ibunya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataan yang pernah dikeluarkan pada tahun 2020.

Nur Hidayu Rosly dan ibunya, Zainab Ibrahim mengakui kenyataan yang pernah disiarkan sebelum ini telah mengundang ketidakpuasan hati Syed Faris.

“Kami ingin memohon maaf sekiranya penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut telah mengundang ketidakpuasan hati dan menjejaskan reputasi Syed Mohd Faris Syed Roslan, yang mana ianya telah disebar dan dipetik oleh pihak ketiga (netizen) di luar konteks dan makna sebenar ” katanya dalam satu kenyataan media.

Hidayu dan ibunya membuat permohonan maaf terhadap Syed Faris.

Menurut Nur Hidayu dan Zainab, permohonan maaf terbuka itu dibuat sebagai penyelesaian terhadap kenyaataan yang pernah dikeluarkan di beberapa portal media selain bertujuan memperbaiki hubungan kedua-dua pihak yang memberi impak positif kepada anak-anak yang semakin membesar.

Dalam pada itu, Nur Hidayu dan Zainab turut menarik balik semua kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini tanpa sebarang syarat.

Malah, mereka juga memberi akujanji secara nyata dan tanpa bersyarat untuk tidak membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan pada masa akan datang yang berkemungkinan memfitnah atau menjejaskan reputasi Syed Mohd Faris dalam apa jua bentuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mertua kesal anak dicerai Imam Muda Syed Faris selepas nikah wanita lain - “Alasan dia kahwin lain sebab nak bantu kewangan keluarga”

ARTIKEL BERKAITAN: Imam Muda Syed Faris, jangan culas bayar nafkah 5 anak... Bekas isteri pun cukup-cukup makan!

Pada 5 November tahun lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Nur Hidayu dan Zainab untuk menarik balik keseluruhan kenyataan selepas mendapat persetujuan penyelesaian bersama yang didakwa sebagai fitnah selepas di sebar dan di ulas oleh pihak ketiga.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua defendan membuat satu permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif (Syed Faris) selain menghalang mana-mana pihak untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh mencemarkan reputasi kedua-dua pihak. 

Sebelum ini, Zainab pernah mengeluarkan kenyataan mendakwa Syed Faris berlaku curang sepanjang tempoh perkahwinan dengan anaknya itu.

Malah, Zainab turut mendakwa Syed Faris berpoligami atas alasan untuk membantu kewangan keluarga.

Dalam masa sama, Nur Hidayu turut mengeluarkan kenyataan mendakwa dirinya pernah dikasari oleh madunya ketika itu.

Hidayu (kiri) dan Syed Faris bercerai talak satu pada 28 Mei 2020.

Untuk rekod, Syed Faris dan Hidayu mendirikan rumah tangga pada tahun 2007 sebelum sah bercerai dengan talak satu pada 28 Mei 2020.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Sharifah Aisyah, Syed Husayn, Sharifah Fatimah, Syed Muawiyyah dan Sharifah Safiyyah.

Sepanjang perkahwinan, Hidayu juga pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain