suria

Rezeki terbuka lepas menyamar pramugari Batik Air, Nisa kini ‘dilamar’ sertai latihan kru kabin

Khairun Nisa pernah tular kerana ditahan selepas dikesan cuba menyamar sebagai pramugari Batik Air. -Foto Kompas

KISAH seorang wanita muda, Khairun Nisa, 23, sekali lagi mencuri perhatian warga maya selepas tular dakwaan bahawa dia diterima bekerja sebagai pramugari Garuda Indonesia.

Bagaimanapun, kesahihan maklumat itu masih menjadi tanda tanya apabila sehingga kini tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan syarikat penerbangan nasional Indonesia berkenaan.

Berita dengan tajuk 'Khairun Nisa akhirnya diterima sebagai pramugari Garuda Indonesia' tersebar luas di pelbagai platform media sosial, sekali gus mengejutkan netizen yang mengikuti kisahnya sebelum ini.

Perkongsian itu turut disertakan sekeping gambar memaparkan Khairun Nisa berjabat tangan dengan seorang lelaki dipercayai pegawai Garuda sambil memegang sijil, disaksikan beberapa individu lain yang kelihatan bertepuk tangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Beli uniform dalam talian, wanita dedah terpaksa menyamar pramugari Batik Air sebab malu dengan keluarga

Namun, hasil semakan menggunakan teknologi Gemini AI mendapati imej tersebut adalah palsu.

Malah, alat pengesanan SynthID mengesahkan gambar berkenaan sebahagian besarnya telah disunting atau dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), satu kaedah yang sering digunakan dalam penyebaran kandungan penipuan bagi mengelirukan orang ramai.

Untuk rekod, kisah Khairun Nisa dari Muara Kuang, Ogan Ilir, Sumatera Selatan menjadi tular sejak minggu lalu selepas dia dikesan menyamar sebagai pramugari Batik Air.

Imej tular memaparkan Khairun Nisa berjabat tangan dengan seorang individu dipercayai pegawai Garuda Indonesia, disahkan palsu hasil semakan menggunakan teknologi Gemini AI. 

Difahamkan, dia bertindak sedemikian kerana berasa malu dengan keluarganya selepas gagal dalam beberapa siri pemilihan pramugari selain pernah menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan.

Sehingga kini, Garuda Indonesia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang mengesahkan penerimaan Khairun Nisa sebagai pramugari syarikat berkenaan.

Maklumat sebenar yang disahkan ialah Khairun Nisa hanya menerima tawaran mengikuti latihan kru kabin secara percuma daripada Akademi Aeronef, sebuah sekolah pramugari yang beroperasi di Kediri, Jawa Timur.

Menerusi hantaran di akaun Instagram rasmi @aeronefacademy.official, pihak akademi itu memberi kata-kata semangat kepada wanita berkenaan agar tidak berputus asa, sambil menegaskan bahawa kegagalan bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada peluang yang lebih baik.

"Beberapa ketika lalu, kita semua tersentuh dengan kisah Nisa dari Palembang. Perjuangan serta semangatnya untuk membahagiakan ibu bapa benar-benar menyentuh hati ramai.

"Di Aeronef Indonesia, kami percaya setiap niat yang baik wajar diberi peluang dan sokongan sepatutnya.

"Sehubungan itu, kami dengan penuh rasa bangga menjemput Nisa untuk menyertai Program Pendidikan Penerbangan Percuma 100 peratus di Aeronef Indonesia. 

"Melalui peluang ini, kami ingin membantu Nisa merealisasikan impiannya untuk mengenakan pakaian seragam pramugari sebenar, lengkap dengan pengetahuan serta pensijilan rasmi," tulisnya.

Khairun Nisa turut dipelawa untuk menghubungi pihak Akademi Aeronef melalui pesanan langsung (DM) bagi mendapatkan maklumat lanjut sekiranya berminat dengan tawaran tersebut. -Agensi

Artikel Lain