suria

Kuasa Tuhan melebihi segalanya… Doktor pernah beritahu peluang Uyaina Arshad hamil sangat tipis… “Sekarang saya sedang mengandung anak ketiga”

Uyaina kini sedang hamil anak ketiga.

PELAKON dan pengacara, Uyaina Arshad mendedahkan pernah berdepan detik sukar dalam hidupnya apabila doktor memaklumkan dia berkemungkinan tidak boleh hamil. 

Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, berkata, perkara itu juga membuatkan dia takut untuk melangkah ke alam perkahwinan sehingga di awal perkenalan dengan 

Raja Syahiran dia terpaksa berterus terang. 

"Ketika saya sedang bercinta dengan teman lelaki saya ketika itu (Syahiran), perkara ini antara yang terawal saya beritahu kepadanya. Saya berterus terang. Saya katakan saya mungkin tidak boleh mengandung disebabkan keadaan kesihatan saya.

Perkongsian Uyaina di Threads miliknya.

"Jadi jika dia mahu mencari seseorang untuk membina rumah tangga dan berkeluarga, saya bukanlah orangnya.

"Namun dia menjawab, “Tak apa. Kita teruskan” sambil tersenyum. Saya sendiri terkejut, betul ke lelaki ni?," katanya. 

Uyaina berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya pada Rabu. 

Biarpun doktor tersebut memberitahu risiko mengandung sangat rendah, namun siapa sangka dia disahkan hamil cahaya mata pertama selepas berkahwin pada 2021. 

ARTIKEL BERKAITAN: Uyaina Arshad ‘tutup kilang’, cukup tiga anak… “Saya ada masalah jantung”

ARTIKEL BERKAITAN: Uyaina Arshad belum tahu jantina bayi, mahu kejutan ketika bersalin…. Suami beri kad kredit layankan mengidam emas

"Kami berkahwin pada tahun 2021 dan saya melahirkan anak pada tahun 2022.

"Kami benar-benar terkejut apabila mendapat tahu saya hamil! Saya? Orang yang doktor kata tidak boleh mengandung itu??

"Allah Maha Besar. Jika Dia berfirman, “Kun Fayakun”, maka jadilah ia. Dan sekarang, saya sedang mengandungkan anak ketiga saya. Masya-Allah," ujarnya. 

Mengimbas kembali punca kebimbangan tersebut, Uyaina menjelaskan ia bermula pada tahun 2019 apabila dia didiagnosis dengan dua masalah jantung serius.

"Kalau awak mula makan ubat ini, awak mungkin tidak boleh mengandung. Ia berlaku pada tahun 2019.

"Itulah kali pertama saya didiagnosis dengan dua masalah jantung iaitu Supraventricular Tachycardia (SVT) dan Quadricuspid Aortic Valve (QAV).

"SVT menyebabkan degupan jantung saya menjadi sangat laju. Kadar degupan jantung normal seseorang ketika rehat adalah sekitar 60–100 denyutan seminit, tetapi pada waktu itu, degupan jantung saya hampir mencecah 200 denyutan seminit! Sangat luar biasa," kongsinya. 

Uyaina dan Syahiran (kiri) bakal menimang cahaya mata ketiga.

Pada April 2019, Uyaina memaklumkan dia disahkan menghidap penyakit Supraventricular tachycardia (SVT) dan heart valve.

Kongsi Uyaina, pada mulanya dia menganggap keletihan yang sering dialami disebabkan oleh masalah tekanan darah rendah. 

Untuk rekod, Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Raja Shahiran pada 21 Disember 2021 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan, 4, dan Raja Urayyan, 2 tahun. 

Pada Ogos tahun lalu, Uyaina berkongsi khabar gembira apabila dirinya kini hamil anak ketiga.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain