suria

Watak dikecam teruk, Annisa Kaila kena cubit dengan penonton

Annisa positif menerima segala respons penonton terhadap lakonannya.

LAKONAN pelakon Annisa Kaila dalam filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel ternyata memberi impak besar kepada penonton sehingga ada yang tidak dapat menahan rasa marah terhadap watak yang dibawakannya.

Anissa atau Annisa Aurelia Kaila, 18, berkata dia menerima pelbagai reaksi ekstrem daripada penonton, termasuk insiden dicubit ketika menghadiri tayangan perdana filem tersebut di Indonesia pada Disember lalu.

Kata Annisa, tindakan itu tidak menyinggung perasaannya, sebaliknya dianggap sebagai bukti lakonan dibawakan berjaya menghidupkan emosi penonton.

"Sudah tentu saya menerima pelbagai reaksi daripada penonton. Sewaktu tayangan perdana di Indonesia, ada juga makcik-makcik (penonton) yang sempat cubit saya (geram). 

Annisa menyerlah membawakan watak Astrid.

"Mereka semua geram dengan watak yang saya bawakan. Tidak mengapa saya okay saja kerana itu bermakna lakonan saya menjadi. 

"Saya senang menerima sama ada reaksi positif atau negatif daripada penonton," katanya kepada mStar. 

Annisa berkongsi perkara itu ketika ditemui di tayangan perdana filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel yang diadakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Selasa. 

Selain berdepan reaksi secara bersemuka, aktres berkenaan turut menerima kecaman hebat di media sosial gara-gara watak antagonis Astrid yang dilakonkannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pangku ‘surat cinta’ Reza Rahadian buat ibu, mahu buka minda tentang kemiskinan... “Saya buat filem bukan untuk penonton menangis”

ARTIKEL BERKAITAN: Nicholas Saputra cipta kelainan, pertaruhkan suara dalam filem muzikal

"Di media sosial juga banyak saya terima DM daripada penonton malah di ruangan komen IG pun ramai yang kecam. 

"Semuanya gara-gara Astrid (nama watak) padahal itu kan hanya lakonan. Semua membenci saya kerana watak ini," ujarnya.  

Sewaktu tayangan perdana di Indonesia, ada juga makcik-makcik (penonton) yang sempat cubit saya. 

ANNISA AURELIA

PELAKON

Dalam pada itu, Annisa mengakui pada awalnya berasa takut untuk menerima tawaran filem tersebut memandangkan kisah yang dipaparkan berkait rapat dengan kes buli sebenar yang tular sejak 2023.

Namun, selepas mempertimbangkan tanggungjawab sebagai seorang pelakon, Annisa nekad menerima watak tersebut demi menyampaikan mesej keadilan kepada masyarakat.

"Kali pertama mendapat tawaran filem ini saya agak takut sebab saya memang mengikuti kes David sejak 2023. 

Annisa (kanan) bersama Tika selaku peranan utama dalam Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel. 

"Saya tidak menyangka dapat memegang watak dalang yang menjadi punca kepada kes buli ini. 

"Saya sempat fikir dulu sebelum terima kerana kes ini sangat viral dan bahaya, tetapi selepas difikirkan untuk apa saya takut kan? Kami hanya mahu keadilan," katanya.

Selain Annisa, filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel turut dibintangi barisan pelakon seperti Chicco Jerikho, Tika Bravani, Muzzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana dan Rizky Hanggono. 

Filem yang diangkat daripada kisah benar seorang remaja bernama David Ozora ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 22 Januari ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain