suria

Pangku ‘surat cinta’ Reza Rahadian buat ibu, mahu buka minda tentang kemiskinan... “Saya buat filem bukan untuk penonton menangis”

Filem Pangku bakal ditayangkan di pawagam bermula 18 Disember ini.

DI SEBALIK kejayaan dalam dunia lakonan, mungkin ramai yang tidak tahu sumber kekuatan pelakon Indonesia, Reza Rahadian untuk menghasilkan filem pertama arahannya berjudul Pangku. 

Menurut Reza atau Reza Rahadian Matulessy, 38, Pangku lahir daripada inspirasi terhadap ibunya, Pratiwi Widantini Matulessy yang berjuang membesarkan dua cahaya mata seorang diri.

Katanya, naskhah itu merupakan satu penghargaan penuh kasih buat insan yang paling banyak membentuk kehidupannya.

"Naskhah ini umpama surat cinta kepada ibu kerana saya mendapat inspirasi daripadanya.

Dari kiri: Fedi, Reza dan Devano ketika ditemui di sidang media filem Pangku.

"Sebagai anak yang dibesarkan oleh ibu tunggal, saya rasa ia menjadi sebab utama terhasilnya karya ini. 

"Saya melihat kegigihan ibu membesarkan dua orang anaknya. Jadi daripada situ saya berjaya menghasilkan jalan cerita bagi filem Pangku," katanya. 

Reza berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media tayangan perdana filem Pangku yang diadakan di TGV Pavilion Bukit Jalil, Selangor pada malam Rabu.  

Menyentuh tema kemiskinan yang turut dipaparkan dalam filem itu, Reza menegaskan bahawa tujuan utama menghasilkan karya itu bukan untuk meraih simpati atau mencetuskan drama air mata kepada penonton.

ARTIKEL BERKAITAN: Reza Rahadian terkejut nama trending selepas kongsi perjalanan jadi mualaf

ARTIKEL BERKAITAN: Lakon babak mesra bersama Reza Rahadian, Bunga Citra Lestari mengaku tak terfikir suami

Sebaliknya, Reza berharap Pangku dapat mengajak penonton berfikir dan melihat fenomena sosial itu daripada perspektif lebih luas.

"Saya tidak mahu mengeksploitasi kemiskinan untuk membuatkan filem ini menarik perhatian ramai. 

"Bagi penonton, mereka akan menangis melihat babak kemiskinan yang dipaparkan tetapi itu bukan tujuan utama saya. Saya mengarahkan filem ini bukan untuk buat penonton menangis. 

"Saya berharap selepas menonton filem ini mereka boleh berfikir. Saya hanya mahu menceritakan kisah yang membuka minda masyarakat," ujarnya.

Tambah Reza, kemiskinan bukan hanya berkait dengan kekurangan peluang pekerjaan, tetapi turut dipengaruhi faktor struktur termasuk aspek politik.

"Bagi saya kemiskinan bukan sahaja sukar untuk mendapatkan peluang pekerjaan tetapi terkait dengan keputusan politik dan beberapa perkara lain. 

"Fenomena (kemiskinan) itu secara tidak langsung menarik pemikiran saya melakukan sesuatu perkara lain (mengarah filem) selepas 20 tahun bergelar pelakon. 

Pangku merupakan filem pertama arahan Reza.

"Saya membuat kajian dalam masa empat hingga enam bulan bersama penulis skrip." katanya. 

Pangku yang merupakan filem pertama arahan Reza mengisahkan kehidupan seorang ibu tunggal yang bergelut antara dilema moral dalam kesempitan hidup untuk menyara keluarga.

Filem ini juga menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk di Busan International Film Festival (BIFF) pada September lalu. 

Sebanyak empat kategori anugerah dibawa pulang iaitu KB Vision Audience Award, Fipresci Award, Central Asia Cinema Award dan Face of the Future Award.

Dibintangi barisan pelakon iterkenal seperti Fedi Nuril, Claresta Taufan, Devano Danendra dan Christine Hakim, Pangku bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 18 Disember ini. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain