suria

Edar Ketamin: Warga India Ke Tali Gantung

SHAH ALAM: Tinggi Shah Alam pada Jumaat menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang jurujual peralatan elektrik warga India kerana mengedar 710 gm dadah jenis ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Ogos tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman ke atas Abu Baker Siddiq Abdul Kader, 29, setelah mendapatinya bersalah di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Didapati keterangan orang kena tuduh (OKT) dalam pembelaan dirinya tidak munasabah, tidak logik dan tidak masuk akal serta tidak melampaui keraguan munasabah," katanya.

Hakim itu berkata keterangan OKT bahawa dia tidak mengetahui mengenai beberapa paket plastik yang ditemui pada dirinya semasa ditangkap adalah semata-mata penafian, kata Noor Azian.

Pada perbicaraan hari ini Noor Azian juga menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Abu Baker berkuatkuasa sejak dia ditangkap 6 Ogos tahun lepas dan berjalan serentak, setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Racun 1952.

Abu Baker dituduh memiliki 2.1 kg Methylephedrine dan 1.5 kg Ephedrine, kedua-dua jenis bahan disenarai di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952, di KLIA pada 6 Ogos tahun lepas.

Kesalahan di bawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (2) Akta yang sama (Semakan 1989) dengan denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

Timbalan Pendakwaraya Wan Zuraida Wan Nawan meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan pertuduhan kerana kesalahan membawa masuk racun ke Malaysia.

Peguambela tertuduh P.Visnuvarman merayu hukuman ringan ke atas anak guamnya kerana Abu Baker yang masih bujang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga di India dan ini adalah kesalahan pertama. -BERNAMA

Artikel Lain