suria

Operasi Lalang: Mahfuz Cabar Kerajaan Ambil Tindakan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pada Rabu mencabar kerajaan untuk mengambil tindakan terhadapnya jika kenyataan beliau ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kediaman Terhad berbaur hasutan.

"Saya tidak akan menarik balik kenyataan di dalam dewan tadi. Jika kenyataan itu dianggap menghasut boleh dakwa saya di mahkamah. Saya hanya mengingatkan kembali sejarah ketika Operasi Lalang," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang memintanya menarik balik kenyataan mendakwa Pemuda Umno menghasut orang Melayu menyertai himpunan sejuta umat Melayu pada 1987.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan Tajuddin sekaligus menyebabkan suasana di dewan bertukar kecoh seketika.

Tajuddin terus bangun meminta Mahfuz menarik balik kenyataan tersebut tetapi ditegur oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan menyuruhnya duduk.

Ekoran itu juga Tajudin yang kecewa dengan tindakan Speaker, dilihat keluar meninggalkan dewan.

Mahfuz mendakwa Pemuda Umno pada waktu itu menghasut orang Melayu untuk membawa senjata tajam pada perhimpunan itu.

"Tindakan itu memaksa Ketua Politik melakukan Operasi Lalang untuk menghalang perhimpunan itu. Akibatnya, saya dan beberapa pemimpin lain ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz tetap dengan pendirian beliau untuk tidak menarik balik kenyataan itu kerana mempunyai bukti terhadap apa yang diperkatakannya.

Artikel Lain