suria

Permohonan UPM Untuk Ambil Alih Hospital Serdang Akan Diputuskan Oleh Kabinet

SERDANG: Satu kertas kabinet berhubung cadangan untuk menjadikan Hospital Serdang sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM) akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kertas cadangan itu telah disediakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Di peringkat ini, Kementerian Kesihatan masih belum berminat mengenai perkara tersebut. Oleh itu, cadangan berkenaan akan dibawa ke kabinet dan saya berharap ia mendapat sokongan semua pihak," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Menurut Muhyiddin, pelbagai aspek perlu diteliti termasuk kesan daripada pengambilalihan itu.

"Debat ini pasti hangat. Kalau nak bina hospital baru, ia akan menelan kos yang tinggi. Tapi kita tidak boleh nafikan kepentingan UPM dalam bidang veterinar," katanya ketika lawatan ke UPM di sini, Jumaat.

Katanya, peruntukan itu akan diberikan dalam fasa kedua Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Terdahulu Naib Canselor UPM, Datuk Ir. Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata UPM ingin memiliki hospital sendiri secara khusus bagi meningkatkan lagi produktiviti terutamanya penyelidikan dalam bidang perubatan.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menampung kapasiti dan pembangunan penyelidikan di Hospital Veterinar Universiti (UVH) UPM.

"Kepakaran yang dimiliki universiti ini wajar dikembangkan untuk menaikkan sektor penternakan di Malaysia sekaligus menjamin kecukupan bekalan makanan khususnya daging," katanya.

Jelas beliau, UPM perlu memperkasakan penyelidikan dalam sektor pertanian terutamanya berkaitan isu jaminan makanan walaupun sudah memperluaskan kursus dalam pelbagai bidang pada hari ini.

"Soal itu sudah menjadi debat besar di peringkat global yang menjadi kebimbangan di seluruh dunia akibat perubahan iklim, bencana alam dan pertambahan jumlah penduduk yang semakin meningkat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, penyelidikan yang dilakukan UPM dalam bidang pertanian bukan saja membantu kerajaan untuk menjamin bekalan makanan mencukupi tetapi mengurusnya dengan berkesan.

"Saya mengalu-alukan pembangunan untuk meningkatkan penghasilan padi dengan menemukan penyelidik UPM dan penyelidik dari universiti lain. Ia dapat memberi impak tinggi dalam aspek jaminan makanan," ujarnya.

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain