suria

Tempoh Tiga Bulan Latihan PLKN Sesuai: Ismail Ahmad

KUALA LUMPUR: Tempoh Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama tiga bulan sekarang tidak akan dipanjangkan buat masa ini kerana faktor kewangan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Ismail Ahmad.

Selain itu katanya, kerajaan juga harus menimbang implikasi kepada pelatih yang ingin menyambung pengajian dan juga bagi yang telah bekerja jika tempoh latihan tersebut dipanjangkan.

"Mungkin pada masa akan datang ia (tempoh latihan) akan berubah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku 'The Malaysian National Service Experience', tulisan bekas pelatih PLKN Gan Jing Ye, di sini Rabu.

Bulan lepas, Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) dilapor berkata tempoh latihan selama tiga bulan itu dikekalkan sekalipun ada cadangan daripada orang ramai agar tempoh tersebut dilanjutkan.

Pada masa yang sama MLKN memberi kelonggaran kepada pelatih yang ingin menyambung latihan mereka.

Mengenai hukuman penjara bagi pelatih yang gagal melapor diri tanpa alasan kukuh, Ismail berkata walaupun perkara itu termaktub dalam Akta Latihan Khidmat Negara 2003, sehingga kini belum ada pelatih yang dikenakan hukuman tersebut.

"...kerajaan sentiasa memberi peluang kepada mereka ini memberikan sebab dan alasan kukuh tidak hadir melaporkan diri. Jika mereka kata nak sambung belajar kemukakan surat dan kita akan tangguhkan latihan mereka," katanya.

Sementara itu, Gan, 21, berharap buku yang ditulis semasa menjalani latihan PLKN di Kem Sri Impian Sungai Bakap, Seberang Perai, Pulau Pinang pada 2008 dapat mengubah tanggapan sesetengah pihak bahawa PLKN program tidak berfaedah.

Katanya buku setebal 250 muka surat itu dijangka mula dijual minggu depan di kedai buku di seluruh negara dengan harga RM20 senaskah. - BERNAMA

Artikel Lain