suria

Wanita Umno Gesa M. Manoharan Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno pada Isnin menggesa Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Alam Shah M.Manoharan supaya melepaskan jawatannya jika tidak memahami perlembagaan dan undang-undang negara.

Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim berkata, tindakan Manoharan mengeluarkan kenyataan untuk menukar Jalur Gemilang jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang merupakan satu pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara.

Katanya, Wanita Umno menyelar sekeras-kerasnya kenyataan Manoharan itu.

"Manoharan jangan jadi ahli politik. Anda tidak memahami apa sebenarnya sebuah negara, prinsip demokrasi... dan tidak memahami tentang negara bangsa. Anda membawa bencana kepada negara ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Adun daripada DAP itu bahawa pakatan pembangkang akan menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya akan datang.

Kamilia berkata bendera adalah lambang kedaulatan kepada sesebuah negara dan dalam konteks Malaysia, kedaulatan dilambangkan melalui perlembagaan negara.

"Malaysia ini menjadi negara yang berdaulat dan simbolnya dilambangkan dengan bendera yang dinamakan Jalur Gemilang. Apabila kita ada sesuatu bendera yang dijadikan lambang kedaulatan negara maka kita perlu berikan tempat yang paling tinggi dan penghormatan yang tinggi.

"Kita ada undang-undang dan peraturan mengenai bendera. Bendera kita tidak boleh gunakan sesuka hati, dan selalu kena berada di tempat yang tinggi. Ia tentu sekali tidak ada langsung kuasa atau mempertikaikan corak bendera itu, apatah lagi hendak menukar bendera," katanya.

Kamilia berkata, Wanita Umno akan berbincang dengan Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai tindakan yang akan diambil terhadap Manoharan kerana perkara berkaitan menukar bendera negara itu perlu diberikan perhatian serius.

Katanya, Manoharan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Kanun Acara Jenayah berhubung dengan pengkhianatan terhadap bendera yang boleh membawa hukuman buang negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain