suria

Sejumlah 18,017 Pelajar IPT Kelantan Terima Wang Ehsan

BACHOK: Seramai 18,017 pelajar dari Kelantan yang melanjutkan pengajian di Institutsi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara menerima bantuan wang ehsan berjumlah RM6.2 juta tahun ini.

Pengerusi Pengagihan Wang Ehsan Kelantan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata penuntut di peringkat ijazah menerima RM800, diploma RM500 dan matrikulasi RM300.

"Bantuan itu bagi meringankan beban ibu bapa untuk membiayai perbelanjaan anak di IPT awam dan swasta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu di peringkat Jajahan Bachok, Ahad.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan kepada 471 pelajar dari pelbagai lapisan masyarakat, terutama golongan petani dan nelayan.

Dr Awang, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata mereka yang layak boleh mendaftar menerusi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kawasan masing-masing untuk mendapatkan bantuan wang ehsan.

Bagi tempoh Januari hingga kini, beliau berkata sejumlah RM20.4 juta wang ehsan dibelanjakan bagi membantu 78,251 penduduk Kelantan yang mengalami musibah seperti kebakaran, selain bantuan kepada pelajar cemerlang.

Mulai tahun ini, katanya, jumlah bantuan untuk mangsa kebakaran dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi meringankan beban membina semula rumah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain