suria

Pertunjukan Kuda Kebangsaan 2011 23-25 September Ini

KUALA LUMPUR: Pencinta kuda berpeluang untuk melihat dan mengenali haiwan itu dengan lebih dekat pada Pertunjukan Kuda Kebangsaan 2011 (NHS) yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September ini di Pusat Ekuestrian dan Sukan Selangor Turf Club di sini.

NHS2011 yang diadakan untuk kali ke-17 itu akan memberi peluang kepada para pengunjung untuk mengenali dunia kuda yang merangkumi pelbagai aktivi dan sukan berkaitan kuda.

Bersempena karnival tahun ini, pengunjung akan dapat melihat pelbagai acara menarik seperti pertandingan ekuestrian yang merangkumi dressage, show jumping, endurance dan combined driving.

Bagi mereka yang suka membeli-belah pula, terdapat tapak ekspo barangan buatan tangan di mana sekumpulan individu yang kreatif menjual rangkaian perhiasan kecil bertemakan kuda.

Untuk keseronokan pula, terdapat sukan ekstrem buat remaja, persembahan artis dan selebriti, persembahan pentas, gerai permainan, mencari harta karun, pertandingan mewarna, sudut Muka Gembira 1Malaysia dan banyak lagi yang menawarkan peluang kepada pengunjung hadiah-hadiah menarik.

Sudut demonstrasi pula akan menonjolkan aksi doktor gigi kuda menjalankan tugas memberus gigi kuda dan ahli akupunktur pula akan memberi kuda sedikit kelegaan kepada kuda.

Tarikan lain adalah ekspo ekuin yang menjual semua produk dan perkhidmatan berkaitan kuda, pertandingan meladamkan kuda antarabangsa, menaiki kereta kuda dan menunggang kuda padi, pameran terbesar baka kuda, dan pameran pelbagai kereta kuda dari era yang berlainan.

"Ini adalah peluang hebat untuk seisi keluarga termasuk kanak-kanak dan remaja untuk mengenali aspek-aspek sukan ekuestrian.

"Ia juga boleh merupakan satu hari untuk bersiar-siar dengan penuh keseronokan yang bertumpukan pada tema kuda," kata Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Tan Sri Richard Cham Hak Lim.

Tambahnya, ekspo ekuin adalah tempat untuk orang awam memperoleh maklumat tentang peluang kerjaya yang mampu ditawarkan dalam industri ini.

Dengan bilangan kuda yang bertambah di negara ini disebabkan populariti sukan polo, sukan Endurance dan Ekuestrian, sektor kuda membekalkan banyak peluang pekerjaan seperti pengurusan kandang kuda, jurulatih, veterinar, pengelola pertandingan, handikap sukan, meladamkan dan banyak lagi.

"Satu lagi tarikan NHS2011 adalah Menunggang Kuda Endurance Amal 20KM yang akan diadakan pada 24 September 2011.

"Pemenang pertandingan akan mendermakan keseluruhan wang hadiah untuk tujuan amal," katanya.

Karnival yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang ini dibuka secara percuma untuk orang ramai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain