suria

Van Masuk Parit : Tiga Terbunuh, Tiga Cedera

IPOH: Tiga orang terbunuh manakala tiga yang lain cedera parah apabila sebuah van yang membawa 10 anggota keluarga terbabas ke dalam parit di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Bukit Merah, kira-kira 120 kilometer dari sini awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan yang dihubungi dari sini berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.40 pagi.

Katanya, mereka yang terbunuh ialah pemandu van Chua Wee Chor, 33, Tukijah Isa, 59, dan anaknya Nurul Haniza Mohd Jamil, 34.

Mangsa yang cedera parah ialah suami Tukijah, Mohd Jamil Anuar, 68, anak lelaki mereka Mohd Nazir, 29, dan cucu mereka Aliya Madiha Abdullah, 1 tahun.

Mat Fauzi berkata keluarga berkenaan yang berasal dari Muar, Johor menyewa sebuah van persiaran dan dalam perjalanan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah bagi menghantar anak Tukijah, Shahila, 19, yang telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran di universiti itu.

Beliau berkata van berkenaan dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di sebelah kiri lebuh raya di Km 186.6 menghala ke utara.

Shahila hanya cedera ringan bersama seorang lagi abangnya Mohd Fairuz, 27, serta abang iparnya Mustafa Kamal Mohd Khamis, 38, Khairul Khafiza Isnin, 29, dan Liayana Mat, 31.

Mayat serta mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Taiping. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain