suria

Polis Terengganu Buru Tiga Suspek Pecah Masuk Kedai Emas

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu sedang giat mengesan dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai anggota kumpulan sindiket yang memecah masuk sebuah kedai emas di Besut baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 30-an yang diburu ini dipercayai aktif terlibat dalam kes pecah rumah di negeri ini dan di sekitar Lembah Klang.

Mereka juga amat dikehendaki oleh polis negeri Pahang dan Selangor berhubung beberapa kes pecah rumah, katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Manoharan berkata kumpulan ini telah merancang dengan teliti untuk memecah masuk kedai emas tersebut dengan menebuk dinding kedai emas berkenaan.

Bagaimanapun, katanya suspek hanya berjaya melarikan serbuk emas dan perak yang terdapat di dalam kedai tersebut setelah gagal memecahkan peti besi tempat menyimpan barang emas.

Akibat tergesa-gesa, suspek tertinggal pelbagai jenis peralatan, termasuk gerudi untuk memecah dinding kedai tersebut.

Rabu lalu, sebuah kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek, Bandar Jertih di sini telah dipecah masuk pada awal pagi hari raya kedua, setelah suspek bertindak menebuk dinding kedai berkenaan.

Kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu menyebabkan pemilik kedai emas berkenaan mengalami kerugian lebih kurang RM200,000.

Salah seorang anggota kumpulan tersebut berusia sekitar 28 tahun beralamat di Bentong, Pahang berjaya ditahan setelah melarikan diri ke arah Kampung Raja dan dia ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain