suria

Mewah makan

RAKYAT Malaysia memang suka menjamu orang. Ini adalah satu hakikat. Negara kita memang mewah dengan makanan dan ini dapat dilihat dalam majlis-majlis berbuka puasa yang dianjurkan sama ada oleh individu tertentu, syarikat, organisasi, jabatan dan kementerian untuk meraikan kedatangan bulan Ramadan.

Golongan yang ‘paling mewah’ pada waktu ini adalah anak-anak yatim kerana boleh dikatakan di mana-mana sahaja, mereka diraikan dengan jamuan berbuka puasa.

Malah ada sebuah stesen televisyen yang menganjur dan membiayai program bersahur untuk anak-anak yatim dengan membawa VIP ke rumah anak yatim berkenaan bagi memberikan kelainan dan kejutan kepada mereka.

Begitu juga dengan para pengamal media. Boleh dikatakan setiap hari ada jemputan untuk berbuka puasa bersama media sehinggakan kita tidak tahu yang mana satu hendak pilih kerana kadang-kadang ada sehingga tiga atau empat jemputan yang jatuh pada hari yang sama.

Seperkara yang penulis perhatikan, pada setiap majlis berbuka puasa ini, tidak ada yang tidak penuh. Pada satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, orang begitu ramai yang datang untuk makan secara percuma sehinggakan tiada ruang langsung untuk kita bergerak dan berjalan.

Ini dengan sendirinya membuktikan orang Malaysia memang kaki makan. Patutnya di bulan puasa kita mengambil pendekatan ala kadar dan bersederhana tetapi hakikatnya ini tidak berlaku. Apa yang berlaku ialah, orang datang dan membalun apa yang dihidangkan semaksimum yang boleh.

Itu pun makanan masih berlambak-lambak sehinggakan kita jadi tidak ketahuan yang mana satu hendak diambil dan dirasai. Dan kita tertanya-tanya, apakah yang akan mereka lakukan dengan saki baki makanan tersebut selepas selesainya majlis.

Situasi yang sama penulis saksikan ketika menghadiri satu majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh Sultan. Berpuluh-puluh mangkuk yang berisi nasi tidak diusik pun atau orang kata tidak luak mungkin kerana selera orang berpuasa ialah untuk menjamah makanan lain dahulu dan bukannya nasi.

Atau mungkin kerana majlis itu dihadiri oleh Sultan sehinggakan orang ramai berpada-pada. Di majlis itu juga penulis tertanya-tanya apa yang akan mereka lakukan dengan lebihan bermangkuk-mangkuk nasi yang tidak terusik itu.

Kini majlis berbuka puasa telah selesai dan kita semua akan dapati, kita akan dijemput untuk menghadiri satu lagi pusingan majlis bermakan-makan iaitu majlis rumah terbuka Aidil Fitri.

Oleh kerana Syawal diraikan sebulan, maka bermula dari hari pertama raya sehinggalah menjelang 30 Syawal, beratus-ratus majlis rumah terbuka dengan pelbagai hidangan makanan akan diadakan di seluruh negara khususnya di ibu kota.

Dan kita semua meraikan majlis bermakan-makan seolah-olah negara kita dan ekonomi kita tidak terjejas langsung dengan apa jua kegawatan.

Kenapa & mengapa...

PENULIS pernah ditanya, kenapakah dulu tak banyak jenayah berbanding zaman sekarang? Apakah benar masyarakat kita sekarang dikelilingi oleh penjenayah? Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya mudah. Dahulu jumlah manusia banyak mana dan sekarang banyak mana.

Jenayah pada asasnya berkembang mengikut populasi penduduk. Semakin ramai manusia, semakin tinggi permintaan dan keperluan untuk jaminan hidup. Manusia berpusu-pusu mencari peluang untuk meneruskan kehidupan dan ini membuka ruang untuk mencuri kesempatan kerana kek kekayaan semakin menguncup atau mengecil.

Sebab itulah di sebuah negara yang mana jumlah golongan miskin mengatasi golongan sederhana dan kaya, apa yang akan berlaku ialah golongan majoriti yang miskin ini akan menjarah dan merompak kerana mereka berhadapan dengan kehidupan yang terdesak.

Maka atas sebab itulah betapa pentingnya untuk sesebuah negara itu mengekalkan jumlah golongan sederhana yang besar dengan terdapat sedikit ruang untuk golongan kaya dan miskin.

Jadi yang sederhana tidak akan menjarah hak yang kaya dan yang kaya pula mampu membantu membangunkan masyarakat yang miskin. Jika ini berlaku negara akan selamat dan kehidupan akan aman.

Jadi apabila jenayah meningkat, ekoran peningkatan jumlah penduduk, ia hanyalah natural untuk orang ramai berasa takut dan terancam.

Dan ini dibuktikan apabila sebaik sahaja Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan aplikasi baru panggilan kecemasan menerusi telefon bimbit pintar, lebih 8,000 orang telah mendaftar dan memasang aplikasi itu pada hari pertama ia dilancarkan.

Ini kerana orang semakin takut dengan jenayah dan bimbang akan keselamatan diri dan mahu pihak polis dengan segera respon kepada panggilan kecemasan sekiranya berlaku sesuatu musibah.

Jadi kita semua wajar mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana memperkenalkan inisiatif baru ini dan yang paling penting ialah mereka terfikir bagaimana aplikasi teknologi moden boleh dan patut digunakan untuk kepentingan awam.

Apatah lagi buat masa ini jumlah pengguna telefon bimbit tidak kurang daripada 30 juta di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Inilah yang menakjubkan kerana jumlah telefon bimbit melebihi jumlah penduduk Malaysia yang berjumlah 28 juta orang.

Melalui aplikasi ini, pemilik telefon pintar hanya perlu membuat satu tekanan pada punat panggilan kecemasan sahaja dan pihak polis akan dapat mengesan di mana mereka berada untuk menghulurkan bantuan dengan segera.

Ketua Polis Selangor, Timbalan Komisioner Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dengan kemudahan aplikasi ini, siapa sahaja yang berada dalam situasi kecemasan seperti disamun, dirompak dan diserang atau menyaksikan kejadian jenayah hanya perlu melakukan langkah-langkah mudah dan segera menerusi aplikasi tersebut untuk menghubungi polis secara automatik.

Dengan memperkenalkan kaedah ini, mereka tidak perlu lagi menghubungi talian kecemasan polis yang akan mengambil lebih banyak masa untuk melakukannya.

Tetapi beliau mengingatkan orang ramai, seandainya ada pihak yang sengaja mempermainkan pihak polis dengan menekan signal kecemasan ini, mereka hanya menjejaskan orang lain yang benar-benar mengharapkan bantuan kecemasan dari pihak polis.

Akses kepada aplikasi ini boleh dilakukan dengan melayari http://mydistress.net menerusi talian telefon bimbit pintar anda.

Artikel Lain