suria

Noramfaizul Sering Hubungi Keluarga Ketika Di Somalia - Ibu

FOTO TERAKHIR... Allahyarham Noramfaizul bergambar di lokasi terhempasnya helikopter tentera Amerika Syarikat Black Hawk beberapa tahun lalu. Foto ini diambil oleh jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan beberapa jam sebelum kedua-duanya ditembak di Somalia, Jumaat. - Foto BERNAMA
FOTO TERAKHIR... Allahyarham Noramfaizul bergambar di lokasi terhempasnya helikopter tentera Amerika Syarikat Black Hawk beberapa tahun lalu. Foto ini diambil oleh jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan beberapa jam sebelum kedua-duanya ditembak di Somalia, Jumaat. - Foto BERNAMA
FOTO TERAKHIR... Allahyarham Noramfaizul bergambar di lokasi terhempasnya helikopter tentera Amerika Syarikat Black Hawk beberapa tahun lalu. Foto ini diambil oleh jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan beberapa jam sebelum kedua-duanya ditembak di Somalia, Jumaat. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ibu Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BernamaTV yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat di Somalia berkata, anak sulungnya itu kerap menghubungi keluarga untuk menyatakan keadaan beliau sepanjang berada di negara bergolak itu.

Naemah Abd Majid, 63, berkata, keadaan itu agak berbeza kerana sebelum ini Allahyarham hanya menghubungi keluarga menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) apabila menyertai misi ke luar negara.

"Semasa berada di sana, arwah ada menghubungi saya untuk bertanya khabar. Arwah turut menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada adik-beradik serta mak cik saudaranya bagi memaklumkan keadaan semasa arwah.

"Dua tahun lepas, semasa arwah menyertai misi kemanusiaan di Gaza, arwah hanya menghubungi kami melalui SMS sahaja tetapi dalam misi kali ini, arwah sedikit berbeza," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Serdang Raya, di sini.

Bapa Allahyarham, Mohd Nor Mat Yasin, 66, pula sempat bercerita bahawa Allahyarham pernah menyatakan hasratnya untuk bermalam bersama keluarganya di Serdang Raya sebelum berlepas ke Somalia.

"Dia ada menelefon saya menyatakan hasrat untuk bermalam di sini sehari sebelum berlepas (27 Ogos) dan beberapa jam kemudian dia menelefon semula dari pejabatnya (Bernama) untuk memaklumkan kami keadaan keretanya yang tidak boleh dihidupkan.

"Beberapa jam kemudian kira-kira pukul 10.30 malam, dia tiba bersama salah seorang rakan sepejabatnya yang menumpangkannya. Arwah sempat menyertai keluarga mengadakan kenduri doa selamat untuknya sebelum beliau berlepas," katanya.

Dalam pada itu, suasana sedih dan pilu menyelubungi kediaman keluarga Noramfaizul, Sabtu walaupun jenazah Allahyarham hanya dijangka tiba Ahad.

Kaum keluarga, rakan taulan serta beberapa anggota kabinet yang rata-rata terkejut dengan pemergian Allahyarham tidak putus-putus mengunjungi kediaman keluarganya sejak awal pagi tadi untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Turut kelihatan ialah Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang profesional yang tulen dalam memenuhi tugas dan memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan tulen.

"Pemergiannya akan dicatat dalam sejarah Bernama," katanya yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Turut melawat ialah Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Editor BernamaTV Abdul Rahman Ahmad.

Allahyarham Noramfaizul merupakan sebahagian daripada 55 anggota sukarelawan yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Jenazah dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu menaiki pesawat Charlie C-130 bersama-sama anggota misi lain, dan dijangka tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 9 pagi esok.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Trafik Bukit Aman, Asisten Komisioner (ACP) Fuad Latif ketika ditemui Bernama berkata, polis akan mengiringi van jenazah setibannya dari lapangan terbang Subang esok bagi memudahkan perjalanan ke rumah keluarganya dan seterusnya ke tanah perkuburan.

Fuad yang melahirkan rasa simpati beliau ke atas pemergian arwah turut mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga arwah.

Bukit Aman akan sentiasa cuba membantu dari segala sudut bagi memudahkan perjalanan jenazah itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain