suria

Jawatankuasa Khas Parlimen: PAS Belum Buat Keputusan

KUALA LUMPUR: PAS masih berdolak-dalik sama ada parti itu akan menyertai Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen yang ditubuhkan kerajaan bertujuan melakukan penambahbaikan sistem pilihan raya.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS akan menentukan pendirian mereka selepas kerajaan menyatakan komitmen sebenar mengenai penubuhan jawatankuasa tersebut.

"Masa panjang lagi, kita akan berbincang selepas ini. Kita akan buat keputusan selepas mendengar apakah komitmen kerajaan selepas ini.

"Kerajaan mesti beri komitmen yang jelas dalam isu ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai perkembangangan terbaru apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyatakan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) boleh diadakan pada bila-bila masa tanpa terikat kepada laporan yang akan dikeluarkan oleh jawatankuasa khas berkenaan.

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata Perdana Menteri boleh dianggap menghina Parlimen sekiranya kerajaan bertindak mengenepikan peranan yang bakal dimainkan oleh jawatankuasa khas terutama bagi melakukan reformasi sistem pilihan raya.

Katanya adalah tidak wajar apabila kerajaan mengambil keputusan membubarkan Parlimen sebelum jawatankuasa khas tersebut selesai menjalankan tugas mereka.

"Saya anggap ini penghinaan kepada Parlimen, kalau sudah tubuh (jawatankuasa) sepatutnya kerajaan menunggu sehingga mereka selesaikan tugas mereka dan mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah yang dibangkitkan oleh rakyat berkaitan pilihan raya.

"Apabila tubuh kena hormat, tunggu jawatankuasa khas ini selesai pengendalian dan penerangan mereka," katanya.

Selain itu Mahfuz berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan pengumuman Najib sebelum ini iaitu bahawa kerajaan komited untuk melakukan penambahbaikan sistem pilihan raya hanya sekadar mahu menurukan 'suhu politik' terhadap tuntutan rakyat.

"Bila Najib kata kerajaan tak terikat, ini bermakna penubuhannya sekadar mahu menurunkan suhu politik terhadap tuntutan kemarahan rakyat.

"Beliau menggunakan Parlimen untuk turunkan suhu politik," katanya.

Artikel Sebelum

Zuraida Tak Gentar Saman KDN

Artikel Berikut

Artikel Lain