suria

KP MARA Sahkan Pihaknya Memantau Rapi Situasi Pelajar Msia Di London

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui pejabatnya di London dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom sedang memantau rapi untuk memastikan keselamatan semua pelajar tajaannya terkawal berikutan rusuhan yang berlaku di London.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad dalam satu kenyataan berkata, Mara juga berhubung dengan Wisma Putra untuk mendapatkan status terkini terutama mengenai keperluan dan keselamatan pelajar tajaanya dari semasa ke semasa.

Seramai 700 pelajar tajaan Mara sedang menuntut di United Kingdom buat masa ini.

Ibrahim berkata, Mara juga sedang memantau perkembangan kesihatan Asyraf Haziq Rosli, pelajar yang cedera dipukul dan disamun sekumpulan perusuh ketika dalam perjalanan menziarahi rakannya untuk berbuka puasa di utara London.

"Asyraf mendapat jagaan dan rawatan terbaik di Hospital Royal London dan segala kos melibatkan perubatan ditanggung oleh Mara," katanya.

Asyraf, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan Mara di Kolej Kaplan, dilaporkan mengalami patah gigi dan cedera di rahang apabila diserang dan disamun sekumpulan lelaki yang terbabit dalam rusuhan Isnin lepas.

Ibrahim turut mengingatkan pelajar-pelajar di bawah tajaan Mara agar mengikuti nasihat dan arahan yang dikeluarkan melalui e-mel, twitter dan media massa serta berhubung terus dengan pejabat Mara London sekiranya terdapat apa-apa keperluan dan bantuan yang diperlukan.

Anggota keluarga dan waris diminta agar dapat bersama-sama mendoakan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia yang bermastautin dan bekerja di London, katanya.

Orang ramai boleh menghubungi pejabat Mara London di talian +004477 74948685/ +00442072433478 atau Bahagian Penganjuran Pelajaran Mara di talian 03- 26132005 atau 03-2613 2002.

Rusuhan bermula di London beberapa hari lalu selepas seorang lelaki ditembak mati oleh polis di Tottenham, utara London dan merebak ke banyak bandar termasuk Birmingham, Liverpool, Bristol dan Manchester. - BERNAMA

Artikel Lain