suria

124 Majikan Didenda Kesalahan KWSP

KUALA LUMPUR: Seramai 124 majikan dikenakan denda oleh mahkamah berjumlah RM124,949 antara April dan Jun tahun ini kerana kegagalan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kakitangan mereka.

Denda antara RM2,500 dan RM5,000 itu adalah bagi kesalahan mengikut Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991 yang mewajibkan semua majikan membayar caruman bulanan sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan, kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar.

Dalam kenyataan di sini pada Rabu, beliau berkata denda paling tinggi iaitu RM5,000 dikenakan terhadap Cityskill (M) Sdn Bhd dari Terengganu diikuti dengan Flight Base International Sdn Bhd dari Selangor sebanyak RM3,500.

Dua syarikat berpangkalan di Selangor, Strongforce Engineering Sdn Bhd dan Plastech Industrial Systems Sdn Bhd serta Sunshine Progress Sdn Bhd dari Johor masing-masing didenda RM3,000, manakala Axcess Tickets Sdn Bhd dari Selangor didenda RM2,500.

"Dalam tempoh yang sama, sejumlah 228 kes sivil dan 924 kes jenayah difailkan di mahkamah terhadap pengarah syarikat dan majikan kerana gagal membuat caruman," katanya.

Beliau berkata KWSP juga telah mengemukakan 294 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi menahan mereka dari meninggalkan negara sebelum tunggakan dijelaskan mengikut Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

Nik Affendi berkata mahkamah selalunya akan memberi tempoh maksimum enam kali ansuran kepada majikan untuk melangsaikan tunggakan caruman.

Para pencarum turut dinasihatkan supaya kerap menyemak penyata kira-kira mereka bagi memastikan majikan membayar caruman tersebut, katanya.

"Mereka juga boleh memantau caruman KWSP mereka dengan mendaftar di i-Akaun bagi membolehkan mereka menyemak maklumat akaun secara dalam talian 24 jam sehari," katanya.

Untuk maklumat lanjut, para pencarum boleh berkunjung ke cawangan KWSP berdekatan, menerusi laman web myEPF di www.enquiry.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 dari pukul 7.30 pagi hingga 7.30 malam pada hari bekerja. BERNAMA

Artikel Lain