suria

Bercanggah: Perkasa Cabar Khalid Keluar PAS

PETALING JAYA: Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mencabar Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad supaya keluar dari PAS ekoran sikap beliau membidas tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung serbuan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama minggu lalu.

Menurut beliau, tindakan Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor itu dilihat seolah-olah mempersendakan Islam.

"Sebenarnya apabila kita bercakap tentang agama, ia tidak boleh dipolitikkan. Sudah-sudahlah... Isu ini merupakan perkara serius dan perlu diselesaikan dengan segera," katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Pada Jumaat, Khalid berkata tindakan JAIS menyerbu gereja tersebut tidak wajar kerana tidak semestinya orang Islam yang hadir ke majlis itu mempunyai niat untuk murtad.

Irwan berkata, Khalid tidak sepatutnya campur tangan, sebaliknya membiarkan JAIS meneruskan siasatan berhubung serbuan yang dilakukan oleh pegawai dan anggota penguatkuasa jabatan agama berkenaan.

"JAIS merupakan satu badan perundangan Islam dan sentiasa mempertahankan tindakan yang betul apabila membabitkan isu berkaitan agama," ujarnya.

Tambah beliau, mengikut perlembagaan negara, segala hal yang berkaitan dengan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja dan Sultan negeri masing-masing.

Sehubungan itu, Irwan berkata, Khalid tidak mempunyai sebarang kuasa untuk bersemuka dengan JAIS bagi mendapatkan penjelasan berhubung serbuan pada malam Rabu lalu.

"Persoalan sekarang, siapa Khalid Samad? Hanya Sultan Selangor yang boleh panggil JAIS untuk menghadap baginda selaku ketua agama di negeri itu dalam menyelesaikan perkara ini," ujarnya.

Bagaimanapun, Perkasa tetap dengan pendirian mereka menyokong pendirian Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang mempertahankan serbuan JAIS itu.

"Beliau mempertahankan tindakan yang betul. Jika perkara ini tidak benar, mengapa JAIS menemui bahan bukti seperti 12 soalan berbentuk kuiz mengenai agama Islam bercetak ketika pemeriksaan dalam serbuan itu seperti yang dilaporkan media hari ini? Timbul persoalan di sini," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abdullah Mansor turut membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 8 di sini tengah hari tadi bagi menggesa polis melakukan siasatan dakwaan wujudnya usaha memurtadkan orang Islam.

Abdullah yang ditemani kira-kira 30 ahli Perkasa turut membawa sepanduk sebagai menyokong tindakan Dr Hasan Mohamed Ali dan JAIS serta mengkritik pendirian Khalid.

Artikel Lain