suria

Hakim Diminta Kekalkan Keyakinan, Kepercayaan Awam Terhadap Badan Kehakiman

PUTRAJAYA: Mengekalkan keyakinan dan kepercayaan orang awam terhadap kewibawaan badan kehakiman perlu menjadi agenda utama institusi itu, kata Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi.

Beliau berkata orang awam perlu melihat badan kehakiman sebagai sebuah institusi yang tidak berat sebelah dan bebas daripada ketidakjujuran.

Keyakinan orang awam boleh dicapai menerusi badan kehakiman yang bebas, adil dan saksama, yang amat kritikal kepada mana-mana masyarakat demokratik, katanya.

"Jika kebebasan dan kesaksamaan sebenar badan kehakiman adalah teras kepada demokrasi yang berjaya, begitu juga dengan persepsi orang awam bahawa mahkamah-mahkamah mesti bebas dan saksama dalam menyelesaikan pertikaian dan memberikan perlindungan asas kepada individu," kata Zaki dalam ucapannya pada majlis angkat sumpah jawatan hakim-hakim di Istana Keadilan di sini Rabu.

Pada majlis itu, dua Hakim Mahkamah Persekutuan, dua Hakim Mahkamah Rayuan dan sembilan Hakim Mahkamah Tinggi mengangkat sumpah jawatan.

Pelantikan mereka berkuasa kuasa Rabu.

Zaki berkata, keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman, keupayaan untuk menegakkan keadilan akan dikompromi dan orang awam mungkin akan menggunakan kaedah lain untuk menyelesaikan masalah.

Beliau menegaskan bahawa para hakim perlu membuat keputusan dalam kes yang didengar mereka secara adil dan saksama, berdasarkan fakta dan mengikut undang-undang.

Mereka perlu berbuat demikian tanpa sebarang sekatan, pengaruh, dorongan, tekanan, ugutan atau campur tangan sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak atau atas apa-apa alasan, katanya.

Beliau berkata para hakim juga perlu sentiasa melakukan penambahbaikan dan tidak cepat berpuas hati dengan apa yang mereka telah capai setakat ini.

Ketua Hakim Negara juga menegaskan kenaikan pangkat hakim dibuat berdasarkan merit dan bukan atas faktor kekananan semata-mata.

Sambil mengucapkan tahniah kepada para hakim berkenaan yang dinaikkan pangkat hari ini, Zaki berkata ini mungkin merupakan ucapan terakhir beliau sebagai pegawai tertinggi badan kehakiman di negara ini kerana beliau akan bersara bulan depan.

Pada majlis itu, dua Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Maarop, 58, dan Datuk Hasan Lah, 59, mengangkat sumpah jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Ahmad yang merupakan anak kelahiran Melaka dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 2007, manakala Hasan yang berasal dari Perlis dilantik ke jawatan itu pada 2006.

Datuk Wira Mohtarudin Baki, 58, dan Anantham Kasinather, 63, yang sebelum ini ialah Hakim Mahkamah Tinggi mengangkat sumpah jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan manakala sembilan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka ialah Datuk Noraini Abdul Rahman, Datuk Nor Bee Ariffin, Datin Yeoh Wee Siam, Rhodzariah Bujang, Amelia Tee Hong Geok Abdullah, Datuk Has Zanah Mehat, Dr Prasad Sandosham Abraham, Varghese George Varughese dan Mah Weng Kwai. - BERNAMA

Artikel Lain