suria

Timbalan Gabenor BNM Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Mohd Razif Abd Kadir kembali ke Rahmatullah pada Isnin, demikian menurut satu satu kenyataan daripada bank pusat.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga dan sahabat handai.

Allahyarham Razif menyertai BNM pada 1976 dan memegang beberapa jawatan kanan di bank pusat sepanjang kerjayanya.

Antaranya ialah sebagai Ketua Perwakilan di Pejabat Perwakilan BNM di London, Pengarah Jabatan Pengawalan Bank BNM dan Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) dari 1999.

Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi pertama Jawatankuasa Teknikal Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB).

Selain itu Allahyarham juga menjadi ahli lembaga Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Lembaga Pengarah BNM.

"Sumbangan Allahyarham Datuk Razif kepada perbankan pusat, dan Malaysia amat besar dan kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih di atas khidmat Allahyarham kepada bank dan juga negara.

"Bank Negara ingin mengucapkan sedalam-dalam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya," kata Bank Negara. - BERNAMA

Artikel Lain