suria

Jeff Ooi Diberi Amaran Keras Oleh Jawatankuasa Disiplin DAP

KUALA LUMPUR: Anggota jawatankuasa pusat DAP dan anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun dilepaskan dengan hanya diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin parti kerana mengkritik anggota parti yang juga Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Wong Hon Wai, dalam media.

Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Kok Wai berkata selepas mendengar keterangan Ooi di ibu pejabat parti di sini, jawatankuasa memutuskan mengeluarkan "amaran keras" terhadap Ooi, yang juga ketua staf Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Beliau telah melanggar disiplin parti dengan menggunakan media tanpa menggunakan semua saluran dalaman yang ada. Ini telah mencemarkan nama parti," kata Tan kepada pemberita selepas pendengaran itu.

Ooi sebelum ini telah berbalas kenyataan di media dengan rakan anggota DAP Wong, yang juga Exco Perumahan Pulau Pinang berhubung kegagalan mendapatkan data lengkap mengenai pemohon-pemohon apartmen kos rendah di Batu Lanchang.

Ooi malah bersikap keterlaluan dengan menggesa Wong meletakkan jawatan.

Pertikaian itu diketahui umum apabila Wong mendakwa Ooi tidak membuat penyelidikan semasa menyerahkan senarai nama 178 orang yang memohon untuk membeli rumah kos rendah di kawasannya.

Ooi kemudian menjawab dengan menyatakan “tuduhan itu tidak berasas" dan menggesa Wong yang beliau labelkan sebagai “Napoleon kecil”, meletakkan jawatan.

Menjelaskan mengenai keputusan jawatankuasa itu hari ini, Tan berkata Ooi diberi amaran keras kerana perbuatannya menggelar Wong dengan panggilan tidak baik adalah "contoh tidak baik kepada orang ramai".

"Kenyataannya itu hanya membawa kepada pertikaian parti" kata Tan sambil menegaskan pentadbiran negeri Pulau Pinang telah menerima pujian sebagai "negeri contoh" dan perkara yang dibangkitkan Ooi tidak membantu menyelesaikan sebarang masalah rakyat.

"Jeff sebagai seorang MP (anggota Parlimen) dan ketua staf Lim Guan Eng sepatutnya bertindak sebagai seorang pemimpin parti yang tahu untuk memaparkan perpaduan antara rakan sekerja dan menggunakan saluran sesuai untuk membangkitkan isu.

"Reputasi DAP yang telah dibina dengan susah payah lebih 46 tahun, boleh dimusnahkan dengan mudah melalui tindakan sebegini," katanya.

Terdahulu, Ooi semasa ditemui pemberita selepas memberikan keterangannya itu berkata beliau sedia berdepan dengan sebarang keputusan yang dicapai jawatankuasa itu jika beliau didapati bersalah dan berharap jawatankuasa itu juga mempunyai "kebijaksanaan" untuk memanggil Wong bagi memberikan penjelasannya.

Bagaimanapun, Tan kemudiannya menjelaskan adalah tidak perlu untuk memanggil Wong. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

245,376 PATI Didaftar

Artikel Lain