suria

Mahkamah Benar Semakan Kehakiman Oleh Utusan Melayu Berhubung Bonus

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad bagi mencabar keputusan Mahkamah Perusahaan berhubung pemberian bonus dua bulan gaji kepada petugasnya.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan perkara itu di dalam kamarnya Khamis.

Peguam S.Rutheran, yang mewakili Utusan Melayu, memberitahu pemberita bahawa hakim menetapkan 14 September untuk perbicaraan.

Pada 24 Mei lalu Presiden Mahkamah Perusahaan memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad membayar tunggakan bonus dua bulan gaji kepada petugasnya bagi 2009.

Presiden mahkamah itu Susila Sithamparam berkata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang membawa kes itu ke mahkamah telah membuktikan bahawa Utusan Melayu mencatat keuntungan pada tahun berkenaan.

Kata beliau, dalam penyata beraudit 2009 yang terkandung dalam laporan Tahunan 2009 syarikat berkenaan, Utusan Melayu mengisytiharkan bahawa ia mencatat keuntungan kumpulan berjumlah RM5.121 juta.

Susila memerintahkan Utusan Melayu mematuhi Perkara 44 Perjanjian Bersama dengan serta-merta.

"Oleh kerana responden telah memberi bayaran ex-gratia sebulan gaji kepada setiap petugasnya untuk 2009, maka ia boleh menolak jumlah yang telah dibayar itu daripada bayaran bonus dua bulan gaji yang perlu dibayar kepada mereka untuk 2009," katanya.

NUJ membawa kes itu ke mahkamah pada 23 Mac tahun lepas apabila Utusan Melayu tidak membayar bonus dua bulan gaji kepada petugasnya untuk 2009 dengan alasan sehingga 31 Disember 2009, penerbit akhbar Utusan Malaysia itu mengalami kerugian RM26,169,490 sebagai syarikat individu.

NUJ memohon mahkamah memerintahkan syarikat itu supaya mematuhi Perkara 44 Perjanjian Bersama bertarikh 5 September 2006 yang ditandatangani antara NUJ and Utusan Melayu (M) Bhd. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain