suria

12 Lagi Pusat Pengedaran Akan Diwujudkan Di China

PUTRAJAYA: Persatuan Usahawan Pemprosesan dan Pembungkusan Makanan Malaysia (MAAPA) akan mewujudkan 12 lagi pusat pengedaran di China dalam tempoh lima tahun lagi.

Pengerusi Eksekutifnya Kamalbahrin Khamsan berkata buat masa ini terdapat tiga pusat pengedaran iaitu di Shanghai, Chengdu dan Guangzhou.

"Untuk pembukaan pusat pengedaran yang baru itu, ia menumpukan kawasan sebelah wilayah barat China, memandangkan kerajaan negara itu juga sedang menumpukan pembangunan di wilayah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Kamalbahrin berkata MAAPA dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang mengenal pasti daerah-daerah yang sesuai, sekiranya pusat pengedaran baru itu dapat dibuka ia mampu menjana pendapatan berjumlah RM300 juta setahun.

Beliau berkata menerusi pusat pengedaran itu juga akan memudahkan lagi produk-produk makanan terutamanya produk halal untuk dibawa masuk seterusnya diedarkan.

"Pusat itu juga akan membantu usahawan dalam menentukan produk bagaimana yang memenuhi syarat untuk mendapatkan sijil daripada pihak berkuasa China sebelum produk boleh diedarkan," katanya.

Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah pada seminar Keusahawanan Kesediaan Usahawan Malaysia Untuk Menembusi Pasaran di China yang dirasmikan Timbalan Menteri MITI, Datuk Jacob Dungau Sagan. - BERNAMA

Artikel Lain