suria

Tonto di tepi, di pinggir dan di dalam hutan

Datuk Razani Ujang. - Foto THE STAR Oleh SIA HONG KIAU
Datuk Razani Ujang. - Foto THE STAR Oleh SIA HONG KIAU
Datuk Razani Ujang. - Foto THE STAR Oleh SIA HONG KIAU

TIDAK ada orang yang lebih mengenali setiap penjuru dan pelosok hutan belantara di negara ini melainkan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Razani Ujang, 58. Sepanjang kerjaya profesionalnya, iaitu sejak Oktober 1978 - bermula sebagai pegawai silvikultur hutan pamah, beliau hanya mengurus dan mentadbir hutan. Menemuramah beliau sangat menyeronokkan dan mengujakan. Sebahagian besarnya kerana orang biasa seperti kita tidak tahu banyak perkara tentang hutan dan cara hutan dikawalselia mahupun diuruskan. Kita memandang mudah kerja mereka tetapi hakikatnya tidak begitu. Mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Malah pergerakan mereka juga diperhatikan dan diawasi tonto. Selama ini penulis sangkakan, tonto hanya wujud di dalam bandar dan mengacau serta mensabotaj kerja-kerja pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Tetapi kini baru penulis tahu, di dalam hutan, di pinggir hutan dan di tepi hutan pun ada tonto juga.

Jadi penulis tanya kepada Razani, apakah yang ditafsirkan sebagai pembalakan haram. Katanya, pembalakan haram dari segi definasinya ialah aktiviti penebangan dan pembalakan di luar kawasan yang dilesenkan untuk membalak. Jelas Razani lagi, renjer di peringkat daerah dan negeri mengawasi hutan melalui sistem pemantauan hutan menggunakan remote sensing setiap hari. Jadi jika ada berlakunya pembalakan di luar kawasan yang dilesenkan, mereka dengan segera dapat mengesannya. Tetapi cabarannya ialah hendak menangkap mereka yang melakukan pencerobohan hutan ini kerana mereka juga licik. Mereka lakukan kerja haram ini pada waktu malam. Kata Razani, hasil risikan dan siasatan JPSM mendapati, modus operandi sebahagian besar pembalakan haram menjurus kepada operasi yang didalangi oleh rangkaian sindiket (organised syndicate).

Senjata api...

“Modus operandi yang mereka gunakan menunjukkan perancangan yang tersusun, berani dan menggunakan perkhidmatan tonto malah mereka menggunakan gajet komunikasi yang canggih dan taktik diversion,” kata Razani kepada penulis. Yang lebih mengejutkan penulis ialah apabila Razani memberitahu, semasa pegawai dan renjer JPSM membuat kerja-kerja penguatkuasaan dan penyitaan kayu-kayu balak yang dicuri dan jentera-jentera berat yang mereka gunakan, pegawai-pegawai ini dihalang oleh pihak tertentu yang berpengaruh dengan cara membawa senjata api dan bertindak dalam keadaan yang menimbulkan anggapan yang munasabah bahawa mereka bertujuan atau akan menggunakan senjata api untuk apa-apa tujuan yang salah.

Ini menjadikan kerja-kerja pencegahan dan pengawalan hasil hutan daripada dicuri semakin sukar dan sulit. Apatah lagi, renjer-renjer kita diancam oleh pihak-pihak ini yang membawa senjata api. Penulis bertanya kepada Razani, tidakkah pegawai renjer JPSM merasa terancam lebih-lebih lagi mereka berada di tengah-tengah hutan belantara. Jawab Razani, itulah yang membezakan pegawai penguatkuasanya dengan penguatkuasa-penguatkuasa agensi yang lain - mereka di dalam hutan. Maka Razani berkata, beliau sentiasa mengingatkan pegawai-pegawai dan renjernya, apabila menjalankan operasi, seboleh-bolehnya biarlah operasi itu operasi bersepadu yang turut melibatkan agensi lain seperti polis dan sebagainya. Mereka juga diingatkan supaya sentiasa pastikan memasuki hutan menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda supaya jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, sebuah kenderaan lagi boleh mendapatkan bantuan.

Ini bukan kerja part-time...

“Satu perkara yang saya nak bagi tahu saudara, kerja mencuri balak ini bukanlah kerja separuh masa atau part-time. Ia adalah satu kerja yang dilakukan oleh orang yang mempunyai pengetahuan tentang hutan dan pokok-pokok yang terdapat di dalam hutan. Hendak tebang 10 batang pokok meranti seseorang itu perlu tahu di mana lokasi dan laluan untuk sampai ke situ. Ini bukan ladang tetapi hutan tebal. Tentulah hendak lakukanya kena ada maklumat dan ambil masa. Tetapi mereka boleh lakukan juga kerana mereka mengetahui dan mempunyai maklumat yang tepat mengenai kedudukan pokok-pokok yang bernilai dan bermutu tinggi dan persempadanan Hutan Simpan Kekal, Tanah Kerajaan dan Tanah Beri Milik. Jadi dia mesti ada kaki...saya tidak nafikan ada kerja orang dalam dan kita suspek mereka sentiasa buat rondaan dalam hutan. Dia ambil semua yang berharga sahaja dan dia lakukan ini pada waktu malam di tengah-tengah hutan belantara.

Bukan semua pokok ditebang pemegang lesen...

Penulis juga bertanya, apabila sesuatu kawasan telah diberi lesen membalak apakah ini bermakna, pemegang lesen atau kontraktor akan menebang semua pokok yang ada di kawasan itu. Sambil tersenyum Razani menjelaskan begini; “ Sebelum sesuatu lesen membalak itu dikeluarkan, renjer hutan telah pun membuat inventori pra-penebangan dan mengenalpasti serta meletakkan tag pada pokok mana yang boleh ditebang, jenis pokok yang akan ditebang, kelebarannya dan ketinggiannya dicatatkan di dalam buku log. Misalnya, jika sebatang pokok dapat menghasilkan tiga kerat balak, Jabatan Perhutanan akan merekod dan menampal tag tiga tual balak pada pokok itu. Dari data-data yang diperolehi ini barulah had penebangan diberikan kepada pelesen. Apabila balak-balak ini dibawa keluar, mereka akan melalui stesen atau balai pemeriksaan hutan. Di situ renjer akan memeriksa setiap balak yang dibawa keluar sama ada ia menyamai atau tidak dengan log inventori yang dibuat sebelum pokok ditebang. Jika kita membuat andaian tiga batang balak yang akan dikeluarkan tetapi pemegang lesen keluarkan batang balak yang lebih dari itu, mereka kena segera mendapatkan tag tambahan untuk dilekatkan dan rekod dalam buku log. Balak yang dibawa keluar haruslah sama dengan apa yang dicatatkan dalam buku log. Jadi ini bukan satu proses yang mudah dan senang tetapi orang tidak tahu. Dengan cara ini juga katanya, pengawalan dan pengurusan hutan secara berkekalan akan dapat dilakukan.

Dan pengalaman dalam hutan...

Temuramah dengan Razani tidak lengkap tanpa bertanyakan kepadanya tentang pengalamannya sendiri berkhidmat selama 33 tahun bersama JPSM. “Paling lama saya masuk ke dalam hutan ialah selama tiga minggu. Kami hanya berbekalkan sardin dan ikan kering. Orang yang hendak bekerja dengan Jabatan Perhutanan kena tahu memancing. Kalau tidak, susah nak hidup di dalam hutan,” ujarnya. Tambah beliau lagi, seorang pegawai perhutanan juga kena tahu bagaimana hendak mencari dan mengenalpasti pokok rambutan pacat ketika di dalam hutan. Ini kerana hanya pokok ini yang tahan basah dan boleh dinyalakan api ketika hujan. Lain-lain pokok tidak boleh terbakar kalau basah.

Dan pengalaman yang tak dapat dilupakan? Jawab Razani; “Ketika saya masih menjadi pelatih, saya ditugaskan untuk meninjau hutan di Jengka, Pahang. Kami dibawa memasuki hutan menggunakan seorang jurupandu yang sangat mahir dan berpengalaman. Ketika sedang menyusuri sebatang denai, dia menyuruh kami berhenti dan diam. Jadi kami pun menurut perintah. Selepas seketika, barulah dia memberi isyarat supaya kembali bergerak semula. Tidak jauh dari tempat kami berhenti itu, kami bertemu dengan tapak kaki gajah yang masih lagi baru kerana ketika kami menemuinya, air di sekeliling tapak kaki gajah itu sedang memasuki lekuk yang terhasil daripada pijakan gajah itu. Ini membuktikan jurupandu itu memiliki deria telinga yang tajam dan dapat mendengar pergerakan gajah sedangkan kami yang muda ini tidak dapat mendengar apa-apa.” “Kepada mereka yang berhajat untuk masuk ke hutan, cuma satu sahaja pesanan saya... jangan cakap besar dan jangan berhajat untuk bertemu dengan penghuni hutan...,” pesan Razani mengakhiri perbualan kami.

Artikel Sebelum

Artikel Lain