suria

Dua Kumpulan Lelaki Dan Wanita Amerika Latin Terlibat Kes Curi Berlian RM1.66 Juta

SHAH ALAM: Polis mengenal pasti dua kumpulan warga Amerika Latin, terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita, yang dipercayai terlibat dalam dua kes mencuri berlian dan barangan kemas bernilai RM1.66 juta di kawasan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata siasatan pihak polis juga mempercayai kumpulan berkenaan adalah kumpulan sama terlibat dalam kes curi tiga beg berisi emas bernilai kira-kira RM900,000 di Terengganu pada akhir 2009.

"Kita dapat lihat kelicikan mereka dalam mencuri dengan datang secara berkumpulan ke Malaysia dan menyewa kereta, kemudian samun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Jom Memancing Bersama Ketua Polis Selangor dan melancarkan Pasukan Kesedaran Jenayah (CAT) Peringkat Selangor di Kolam Memancing Air Tawar Rabok Bay, Jalan Kebun, di Seksyen 32 di sini Ahad.

Turut hadir pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor Makhruzi Iksan. Tun Hisan berkata setakat ini berlian dan barang kemas yang dicuri itu masih belum ditemui dan pihak polis masih menjalankan siasatan untuk menjejaki saki baki kumpulan itu.

Mangsa kes kecurian membabitkan enam lelaki dari Hong Kong merupakan pemilik barangan kemas dan berlian, yang baru selesai mengadakan pameran di Kuala Lumpur pada 7 hingga 10 Julai lepas.

Setakat ini, lima lelaki warga Amerika Latin telah ditahan bagi membantu siasatan.

Tun Hisan menasihati semua pihak yang membawa barang kemas agar sentiasa berwaspada daripada menjadi mangsa sindiket yang kebiasaannya menggunakan wanita untuk menjalankan kegiatan mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai CAT beliau berkata ia ditubuhkan bagi menggalakkan golongan belia pelbagai kaum mendisiplinkan diri daripada terjerumus ke dalam aktiviti salah laku dan perlakuan jenayah.

Makhruzi berkata CAT yang kini mempunyai seramai 540 ahli di seluruh Selangor dan berada di bawah kelolaan JBS, dan dapat memainkan peranan dalam memberi pemahaman kepada golongan belia tentang jenayah.

"Kita nak galakkan belia daripada semua kaum untuk sama-sama berkecimpung dalam program CAT ini. Kalau mereka sertainya mereka akan tahu nak rujuk kepada siapa, nak minta nasihat (pemahaman tentang jenayah)," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain