suria

Salur Maklumat Tidak Tepat, CTOS Diperintah Bayar RM200,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat memerintahkan Credit Tip Off Services Sdn Bhd (CTOS) membayar ganti rugi RM200,000 kepada seorang bekas eksekutif kanan Petronas kerana memberi maklumat kredit yang tidak tepat kepada dua buah bank.

Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid mengarahkan agensi pelaporan kredit itu membayar ganti rugi tersebut dengan faedah sebanyak lapan peratus mulai hari ini sehingga penyelesaian seluruh jumlah penghakiman.

Dalam penghakimannya, Siti Khadijah berkata berikutan maklumat yang tidak tepat, Shafie Abdul Rahman, 55, selaku plaintif, mengalami kerugian dan difitnah.

Katanya mana-mana individu yang menjalankan perniagaan melibatkan individu yang lain harus mempunyai kewajipan untuk melaksanakan standard berhati-hati serta berkemahiran dalam urusan supaya tidak menjejaskan hak kebebasan asasi individu lain.

Saman fitnah yang difailkan pada 2006 ini adalah berikutan tindakan CTOS yang menyalurkan maklumat rujukan kredit kepada Affin Bank Bhd dan Bumiputera Commerce Bhd bahawa Shafie adalah seorang muflis.

Berikutan maklumat itu, Shafie gagal mendapatkan pinjaman untuk membeli sebuah apartmen walaupun beberapa kali menegaskan bahawa beliau bukan muflis seperti yang dinyatakan.

Katanya, isu muflis itu timbul ketika RHB Bank secara tidak sengaja telah memohon perintah kebankrapan terhadapnya.

Berikutan itu, satu notis kebankrapan telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dan disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 17 Januari 2003.

Setelah menyedari kesilapannya, bank itu segera meminta maaf kepadanya dan telah menarik balik perintah kebankrapan itu.

Shafie berkata beliau tidak pernah diisytiharkan muflis tetapi CTOS telah mengutip maklumat daripada notis kebankrapan yang awal yang memberi gambaran seolah-olah beliau tidak layak menjadi peminjam.

Sementara itu, dalam pembelaannya, CTOS berkata maklumat yang dibekalkan oleh syarikat itu kepada pelanggannya, yang kebanyakannya institusi kewangan, hanya sebagai bahan rujukan.

CTOS juga berkata pelanggang mereka juga dinasihatkan supaya menyemak maklumat itu dengan pihak berkuasa yang berkaitan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain