suria

Amanah Pendidikan Punjabi Malaysia Dapat Bantuan Tahunan Kerajaan

IPOH: Kerajaan pada Sabtu mengumumkan geran tahunan RM500,000 kepada Amanah Pendidikan Punjabi Malaysia bagi membantu pembangunan program pendidikan bahasa ibunda kaum Sikh di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bantuan yang akan diberikan setiap tahun itu diharapkan akan diuruskan dengan baik bagi membantu program pengajaran bahasa Punjabi yang dijalankan oleh pertubuhan kaum Sikh, Khalsa Diwan Malaysia.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, mengumumkan demikian dalam ucapan perasmian bangunan baru Guru Nanak Institution di sini.

Khalsa Diwan Malaysia telah menubuhkan amanah berkenaan pada tahun 2000 bagi tujuan memulih dan menyusun semula sistem pendidikan bahasa Punjabi di Malaysia.

Muhyiddin berkata sistem pendidikan negara mengiktiraf pengajaran bahasa ibunda bagi semua masyarakat walaupun dasar menetapkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. "Kita tetap menggalakkan semua kaum mempelajari bahasa ibunda... kita galak penggunaan dan kemudahan belajar kerana bukan dasar kerajaan menutup sekolah (aliran lain)," tegasnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata keistimewaan Malaysia yang tidak terdapat di negara lain ialah kepelbagaian bangsa, agama dan budaya.

Katanya semua bangsa walau sekecil mana bilangan seperti kaum Sikh tetap penting dalam proses pembangunan negara.

Muhyiddin yang melakukan lawatan sehari ke Perak, pada sebelah pagi tadi merasmikan Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan di Taiping yang mencatat rekod Malaysia Books of Record sebagai larian serentak terbesar dengan penyertaan 4.1 juta peserta di seluruh negara.

Beliau kemudian membuat tinjauan mesra di Kampung Baru Pokok Asam dan Pasar Awam Taman Kaya di Taiping sebelum menghadiri kenduri rakyat di Alor Pongsu, Bagan Serai.

Timbalan Perdana Menteri berlepas pulang ke ibu negara setelah selesai majlis di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain