suria

Murid Ting. 6 Mati Jatuh Dari Tingkat 4 Bangunan Sekolah

KAJANG: Seorang murid tingkatan enam SMJK Yu Hua di sini meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah itu sejurus selepas menghadiri sesi kaunseling.

Nge Hao Zheng, 18, yang ditemui berlumuran darah di tingkat bawah meninggal dunia di tempat kejadian pada lebih kurang jam 9.20 pagi Selasa.

Pengawal keselamatan sekolah berkenaan, Shamsol Mazli Abdul Samad, 38, berkata, dia mendengar satu bunyi yang kuat dan apabila dia berlari ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku, dia terlihat mangsa sudah pun terbaring di lantai bawah bangunan berkenaan berlumuran darah.

“Saya telah bekerja selama lebih lapan tahun di sekolah ini dan inilah kejadian yang pertama seumpamanya berlaku di sini," katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah itu.

Adalah difahamkan, Nge, yang sebelum ini tidak ada masalah disiplin di sekolah berkenaan telah dirujuk untuk menjalani kaunseling selepas dia didakwa menyiku seorang murid perempuan Isnin lalu.

Ketika ditemui di Hospital Serdang, bapa kepada mangsa berkata, dia tidak tahu menahu mengenai sesi kaunseling yang perlu dihadiri oleh anaknya itu.

“Dia pergi ke sekolah macam biasa dan tidak kelihatan tertekan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul memberitahu, Nge telah menghadiri sese kaunseling dari jam 8 pagi hingga 9 pagi di pejabat kaunselor sekolah tersebut yang terletak di tingkat tiga sekolah.

“Siasatan awal mendapati, selepas dia selesai menghadiri sesi tersebut, mangsa telah pergi ke tingkat empat bangunan yang sama sebelum dia jatuh,” kata Abdul Rashid.

Abdul Rashid berkata, polis telah mengklasifikasikan kematian Nge sebagai kematian mengejut. Mayatnya telah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Artikel Lain