suria

2,380 Dipendekkan Hukuman Sejak Sistem Parol Diperkenalkan - KDN

KUALA LUMPUR: Sejak Program Parol diperkenalkan tiga tahun lalu, seramai 2,380 banduan telah dipendekkan hukuman mereka dan dibebaskan kerana berkelakuan baik, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusof kepada Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan, 199 pesalah telah dibebaskan menerusi program ini pada tahun 2008, 722 orang pada 2009 dan 1,029 lagi tahun lalu. Dari Januari hingga Jun tahun ini, 430 banduan lagi telah dibebaskan.

“Jumlah yang semakin besar banduan yang dibebaskan lebih awal setiap tahun membuktikan bahawa sistem ini adalah satu sistem yang berjaya,” katanya menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol).

Abu Seman bagaimanapun berkata, 65 orang banduan atau 2.73% daripada mereka yang dibebaskan telah didapati melanggar syarat-syarat parol.

Katanya, proses pembebasan melalui program ini dilakukan melalui satu penilaian yang ketat yang diputuskan oleh sebuah jawatankuasa.

Jawatankuasa ini akan melihat apakah banduan yang disyorkan untuk diberi pembebasan awal memenuhi kreteria-kreteria yang ditetapkan oleh jawatankuasa ini.

“Banduan yang diletakkan di bawah program ini perlu melaporkan diri kepada pegawai parol daerah pada tarikh-tarikh yang telah ditentu dan ditetapkan.

“Mereka juga tidak bebas menetap di mana mereka suka sebaliknya hanya menetap di alamat yang diputuskan dan dipersetujui oleh jawatankuasa parol dan perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada pegawai parol daerah sekiranya ingin meninggalkan daerah di mana mereka bermastautin,” ujarnya.

Banduan yang dibebaskan melalui program ini juga, kata Abu Seman adalah diwajibkan melakukan pekerjaan yang telahpun ditetapkan ke atas mereka terus menjalani program pemulihan sebagaimana yang ditetapkan oleh pegawai parol.

“Satu kebaikan sistem ini ialah ia telah membantu mengurangkan kepadatan di dalam penjara di seluruh negara malah membantu proses pemulihan dan penerimaan banduan di dalam masyarakat,” tambahnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain